Images
  • pesilat combi
    Para pesilat lelaki S'pura (Gambar-gambar: Sport Singapore)

Regu seni lelaki menang pingat emas pertama silat; Iqbal raih pingat perak bagi seni tunggal

SUBIC BAY: Para pesilat Singapura memulakan kempen Sukan SEA ke-30 dengan penuh keyakinan dan semangat juang di gelanggang.

Para pesilat lelaki negara bukan saja memperlihatkan prestasi yang mengagumkan bahkan persembahan mereka di gelanggang turut menjangkaui sasaran. Mereka berjaya meraih dua pingat daripada tiga acara yang dipertandingkan di gelanggang Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay pada Isnin (2 Dis).

MELEPASI SASARAN

Regu seni yang terdiri daripada Hamillatu Arash Juffrie, Muhammad Nazrul Mohd Kamal dan Nujaid Hasif Zainal Abidin mengharumkan nama negara setelah meraih pingat emas pertama bagi silat siang tadi.

Dengan pungutan 466 mata, ketiga-tiga pesilat muda negara berjaya mengatasi pesaing terdekat Thailand yang hanya mampu meraih 458 mata. Vietnam, Indonesia dan Filipina menyusul dengan masing-masing memperolehi 451 mata.


(Gambar: Sport Singapore)

“Pingat emas ini memang tidak dijangka tapi saya tetap bersyukur. Saya dan pasukan bersyukur kerana kami telah diberikan emas. Memang saya pun rasa amat gembira kerana kita telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan aspek mental juga telah kami perbaiki berbanding pertandingan yang lepas. Saya rasa amat puas dengan penampilan kita,” kata Nujaid, 20 tahun.

Di edisi Sukan SEA yang lalu, regu seni Singapura hanya mampu menduduki tempat ketiga. Maka itu, kemenangan di Filipina cukup manis buat ketiga-tiga rakan sepasukan ini.

“Pada pendapat saya, prestasi hari ini adalah penampilan terbaik oleh kami. Kami sudah lama berlatih dan saya rasa kami betul-betul layak mendapat pingat,” luah Arash, 21 tahun.

Buat pesilat paling muda dalam regu tersebut, Nazrul, 19 tahun yang akan menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada tahun depan, pencapaian yang membanggakan ini akan terus membakar semangatnya untuk memburu kecemerlangan.

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp sejurus selepas persembahan mereka, Nujaid berharap regu mereka akan dapat terus bekerja keras.

“Kita harap ini bukan yang terakhir buat kita,” kata beliau.

PERSEMBAHAN PALING HEBAT


Pesilat Singapura Muhd Iqbal Abdul Rahman. (Gambar: Sport Singapore)

Wakil negara dalam acara seni tunggal Muhammad Iqbal Abdul Rahman pula menyumbang pingat perak.


Hanya 1 mata di belakang Singapura, Dino Bima Sulistianto dari Indonesia duduki tempat ketiga. (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Dengan persembahan dan pergerakan yang mantap, Iqbal berjaya menambat hati para wasit yang memberikan 461 mata, hanya satu mata di depan pesilat Indonesia Dino Bima Sulistanto.


Pesilat Filina menjuarai acara dengan 470 mata. (Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Acara berkenaan dimenangi oleh pesilat Filipina yang muncul juara dengan kutipan 470 mata.

“Saya amat berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Saya dapat memberikan segalanya ketika saya dalam arena tadi dan saya tak rasa saya ada apa-apa yang saya simpan,” kata pesilat berusia 26 tahun itu.

Sepanjang empat kali bertanding dalam Sukan SEA, inilah kali pertama beliau berjaya menduduki tempat kedua.

Persembahan terbaiknya sebelum ini adalah di gelanggang tanah air sewaktu Singapura menjadi tuan rumah acara berprestij itu di mana beliau merangkul pingat gangsa.

Kejayaan kali ini sangat bermakna buatnya kerana beliau masih berupaya mempamerkan prestasi yang cemerlang walaupun sedang mengalami kecederaan di bahagian bahu yang masih beransur pulih.

“Sebelum saya mulakan persembahan tadi semuanya telah diurus. Saya sudah merawat kecederaan itu dan semuanya berjalan dengan lancar.

“Sampai saya keluar dari gelanggang tadi barulah rasa sakit itu timbul. Baru sakit itu mula,” kata Iqbal sambil menambah bahawa musim pertandingan silat masih belum berakhir dengan para wakil negara bakal bertarung di Kejohanan Asia di China pada hujung tahun ini.

Kategori seni berakhir esok (3 Dis) dengan srikandi negara Nurzuhairah Yazid dijangka meraih pingat bagi tunggal puteri.

Gelanggang kemudian akan dibuka bagi pertarungan para pesilat dalam acara tanding.

Pencak Silat bakal berlangsung hingga 6 Disember.


Ikuti liputan Mediacorp bagi Sukan SEA ke-30 dan dapatkan laporan paling meluas Team Singapore melalui empat saluran LIVE di Toggle. Lungsuri toggle.sg/seagames2019 bagi butiran lanjut.

- BERITAmediacorp/tq

Top