Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ramai rebut peluang saksi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki

Debaran perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Disember ini semakin terasa apabila 40,000 tiket yang dijual dalam talian, habis dijual.

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai rebut peluang saksi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki

Pasukan Malaysia dalam perlawanan menentang Thailand. (Gambar hiasan: @affsuzukicup/Twitter)

Diterbitkan : 08 Dec 2018 03:02PM Dikemas Kini : 08 Dec 2018 03:06PM

KUALA LUMPUR: Debaran perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Disember ini semakin terasa apabila 40,000 tiket yang dijual dalam talian, habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 30,000 tiket habis terjual menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my semalam (7 Dis), manakala baki 10,000 tiket yang dijual hari ini (8 Dis) juga habis terjual tadi.

FAM memaklumkan baki 40,000 tiket lagi akan dijual esok (9 Dis) di beberapa lokasi yang ditetapkan.

Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di Kaunter Tiket Pintu A dan Pintu E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang (atau sehingga tiket habis), dengan setiap penyokong hanya boleh membeli maksimum lima tiket.

Menurut FAM lagi, peminat boleh juga mendapatkan tiket perlawanan di beberapa cawangan Al-Ikhsan Sports terpilih dan mereka boleh merujuk laman facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Para peminat tempatan yang hadir menyaksikan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, pada 5 Disember lalu pula, boleh membeli tiket aksi final pertama di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kaunter tiket khas di Wisma FAM ini hanya dibuka sehari pada Ahad ini dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang, menurut FAM.

Peminat yang membuat pembelian tiket berkenaan bagaimanapun perlu membawa kad pengenalan (MyKad) dan bukti pembelian iaitu keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok atau bukti slip pembayaran tiket berkenaan.

“Jika hilang, sila bawa Pasport Malaysia anda sebagai bukti keluar masuk ke Thailand untuk ke perlawanan tempoh hari,” menurut FAM.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka yang berharga RM40 (S$13) sekeping.

Malaysia seri 2-2 dengan Thailand pada aksi separuh akhir, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir yang menggunakan format timbal balik.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan