Images
  • alfa romeo kimi raikkonen
    Pelumba Alfa Romeo, Kimi Raikkonen (Gambar fail: AFP/Bryn Lennon)

Raikkonen sudah bersedia harungi musim F1; Alfa Romeo lancar kereta lumba baru

WARSAW: Bekas juara Formula 1 Kimi Raikkonen penuh bersemangat pada Isnin (22 Feb) apabila pasukannya Alfa Romeo melancarkan kereta lumba baru bagi musim akan datang.

Pelumba veteran berusia 41 tahun itu turut membayangkan musim baru F1 akan terus diselubungi ketidaktentuan disebabkan oleh penularan COVID-19, tetapi pasukan dari Itali itu akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Pertama sekali, sangat berbesar hati melihat kereta lumba baru ini," kata Raikkonen di majlis pelancaran kereta lumba tersebut di Warsaw.

"Kita berdepan dengan banyak tanda tanya, terdapat beberapa perubahan pada peraturan dan bagaimana ia akan menjejas semua orang dan kedudukan kami," tambah pelumba veteran yang sudah bersaing dalam lebih 300 perlumbaan Grand Prix.

"Mudah-mudahan kedudukan kami lebih baik berbanding tahun lalu dan semoga kami akan mendapat gambaran yang lebih jelas semasa menjalankan ujian dalam masa beberapa minggu akan datang dan dalam masa sebulan di perlumbaan pertama kami akan mengetahui keadaan sebenar."

Pelumba warga Finland, yang menjuarai F1 2007 ketika mewakili pasukan Ferrari, tidak akan membuat sebarang spekulasi tetapi berjanji akan memberikan persembahan terbaik.

"Kami akan melakukan yang terbaik di mana sahaja kami bersaing," katanya.

Raikkonen dan rakan sepasukan Antonio Giovinazzi yang berusia 27 tahun menduduki tangga ke-16 dan ke-17 pada musim lalu dengan kutipan empat mata setiap seorang.

- AFP/TQ/tq

Top