Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Raddy akan berlepas pulang ke Serbia pagi Khamis bagi rawatan barah paru-paru

Beliau bertanggungjawab membantu pasukan bola sepak Singapura menjulang Piala AFF Suzuki sebanyak tiga kali. Pada 2013, beliau diundi sebagai Jurulatih Terbaik Kesatuan Bola Sepak Asean.

Anggaran Waktu Membaca:
Raddy akan berlepas pulang ke Serbia pagi Khamis bagi rawatan barah paru-paru

Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Radojko Avramovic. (Gambar fail: TODAYonline)

SINGAPURA: Beliau bertanggungjawab membantu pasukan bola sepak Singapura menjulang Piala AFF Suzuki sebanyak tiga kali. Pada 2013, beliau diundi sebagai Jurulatih Terbaik Kesatuan Bola Sepak Asean.

Namun bagi sesetengah pemain di bawah asuhannya, peranan beliau lebih daripada semua kejayaan itu.

Individu yang dimaksudkan adalah bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Radojko Avramovic, yang baru-baru ini dikhabarkan terpaksa pulang ke tanah airnya setelah didiagnos menghidap barah.

Khabar menyedihkan peminat bola sepak tempatan itu pertama kali diumumkan menerusi kenyataan Home United FC (HUFC) pada Sabtu (18 Ogos).

"Radojko Avramovic akan meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Home United dengan serta merta atas sebab kesihatan. Beliau akan pulang ke Serbia untuk dapatkan rawatan," menurut kenyataan Home United FC yang disiarkan di Facebook.

Avramovic, yang turut dikenali ramai dengan gelaran "Raddy", pernah memimpin pasukan Singa dari 2003 dan 2012. Setelah memegang jawatan memimpin pasukan negara-negara lain, beliau kembali ke Kota Singa sebagai ketua jurulatih pasukan Home United pada Julai, sehingga meletak jawatan Sabtu lalu.

BELIAU AYAH 'SUPER' KAMI: BAI

Menulis di laman Instagramnya hari ini, bekas pemain pertahanan kebangsaan Baihakki Khaizan merakamkan penghargaan terhadap jurulatih yang dihormatinya itu.

Baihakki memulakan catatannya dengan berkongsi kisah peribadinya sendiri yang membesar tanpa ayah dan merakam penghargaan kepada para jurulatih di padang yang menjadi suri contoh buatnya.

Beliau kemudian menujukan catatan penuh peribadi itu khas buat Avramovic, yang disifatkan sebagai ayah 'super' para pemain tempatan.

"Lelaki ini (Avramovic) adalah ayah super kepada KAMI (para pemain). Beliau membimbing kita dari budak lelaki menjadi dewasa yang masing-masing mempunyai keluarga. Beliau bersama kami melalui setiap tahap dan detik yang kami lalui," tulis Baihakki.

"Seorang ayah yang sangat tegas dan garang, beliau memastikan setiap daripada kami berjaya dalam kerjaya kami. Beliau mendampingi kami secara peribadi dan membantu dengan masalah kami agar kami sentiasa di landasan selamat."

Baihakki turut menyeru orang ramai mendoakan terbaik buat Avramovic agar selamat menjalani rawatan dan segera sembuh.

"Hari ini, ayah kami menghidapi barah paru-paru dan terpaksa berhenti menjadi jurulatih selamanya. Saya menggesa dan mengajak semua untuk doakan terbaik buatnya semasa beliau menjalani rawatan."

"Semoga cepat sembuh, Coah Raddy".

Menurut Baihakki lagi, Avramovic akan berangkat pulang pada awal pagi Khamis dengan menaiki Qatar Airways di Terminal 1.

REKOD CEMERLANG

Selama tempoh sembilan tahun sebagai pemimpin pasukan kebangsaan Singapura, Avramovic membantu pasukan Singa membawa pulang Piala AFF Suzuki sebanyak tiga kali - 2005, 2007 dan 2012.

Lantaran itu, tidak hairanlah beliau dijulang sebagai "jurulatih paling berjaya" oleh Persatuan Bola Sepak Singapura.

"Kami semua di FAS amat bersedih mendengar mantan jurulatih kita, Raddy Avramovic, terpaksa meninggalkan Home United atas sebab kesihatan. Jurulatih paling berjaya Singapura, Raddy memimpin pasukan Singa membawa pulang 3 gelaran Juara AFF semasa sembilan tahun penggalnya di sini dan membawa banyak kenangan manis untuk kita semua," tulis FAS di akaun Instagram pada Isnin.

"Kami mendoakannya yang terbaik dan semoga cepat sembuh."

Meskipun hanya ketua jurulatih Home United FC selama sekitar dua bulan, beliau membantu pasukan itu mencatat empat kemenangan SPL dan satu seri dalam lapan perlawanan.

Menurut Fox Sports, perlawanan terakhir Home United FC di bawah kepimpinannya berakhir dengan kemenangan 3-1 ke atas Warriors FC pada Sabtu.

Sementara Home United mencari pengganti Avramovic, penolong jurulatih Noh Rahman memangku jawatan tersebut.

Pengurus besar Home United Badri Ghent berkata: "Kami amat terkejut dengan berita yang tidak dijangkakan ini, dan semua orang di Kelab ini mendoakan agar beliau (Avramovic) cepat sembuh."

"Kami berbesar hati seseorang yang dihormati seperti beliau memimpin Kelab ini, walaupun buat waktu yang singkat. Beliau sudah membawa kesan positif ke atas semua di HUFC semasa beliau bersama kami." 

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan