Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Qatar tuan rumah pentas akhir Liga Juara AFC 2020

 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan hak kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) untuk menjadi tuan rumah pentas akhir Liga Juara-Juara AFC tahun ini, yang dijadualkan pada 19 Dis di Doha, Qatar.

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar tuan rumah pentas akhir Liga Juara AFC 2020

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 03:01PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 03:05PM

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan hak kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) untuk menjadi tuan rumah pentas akhir Liga Juara-Juara AFC tahun ini, yang dijadualkan pada 19 Dis di Doha, Qatar.

Setiausaha Agung AFC Encik Windsor Paul John berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kemampuan QFA memenuhi semua keperluan sebagai tuan rumah seperti penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan tanggungjawab komersial selain dapat memenuhi infrastruktur perubatan sebagai tuan rumah bagi perlawanan akhir kelab-kelab bola sepak terkemuka dari Asia.

Baru-baru ini, Doha, Qatar berjaya menganjurkan Liga Juara-Juara AFC 2020 (Zon Barat) bermula dari peringkat kumpulan hingga perlawanan separuh akhir pada 14 Sept hingga 3 Okt.

."Yang pasti, keputusan pemilihan lokasi perlawanan akhir tahun ini menjadi semakin rumit disebabkan penularan pandemik COVID-19, lebih-lebih lagi dengan sekatan perjalanan dan ketidaktentuan tahap kesihatan,” kata Encik Windsor yang dipetik dari laman web AFC di www.the-afc.com.

"Selain sekatan yang banyak, AFC juga ingin mempertahankan prinsip penting kesukanan iaitu perlawanan yang bersih dan adil. Ini akan menjadikannya satu perlawanan akhir yang akan kita pastikan tidak berlaku ketidakadilan terhadap mana-mana pasukan, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

"Keselamatan dan kesejahteraan semua kelab yang menyertai kejohanan itu termasuk pihak berkepentingan amatlah penting bagi AFC. Maka, kami harus berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dan pihak berkuasa Qatar serta kementerian negara itu yang telah mengambil langkah-langkah kesihatan yang diperlukan dan protokol perubatan yang berkesan,” tambah Encik Windsor.

Berkongsi pandangan di laman web berkenaan ialah Setiausaha Agung QFA Mansoor Mohammed Al-Ansari yang menzahirkan kenyakinan bahawa persatuan itu berupaya menjalankan tugas dengan cemerlang setelah berjaya menganjurkan Liga Juara-Juara AFC (Zon Barat).

"Qatar ingin mengulangi komitmen kami untuk menyediakan infrastruktur sukan bertaraf dunia, kepakaran operasi dan kesihatan serta keselamatan. Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan AFC untuk menawarkan kepada kelab-kelab terkemuka di Asia, pentas perlawanan akhir yang terbaik, Disember nanti," tambah Encik Mansoor.

Juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim akan meneruskan kempennya dalam Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC (Zon Timur) pada pertengahan November.

Skuad Harimau Selatan itu akan menentang Guangzhou Evergrande China pada 19 Nov, pasukan Suwon Samsung Bluewings dari Korea Selatan (25 Nov), pasukan Jepun Vissel Kobe (1 Dis), sebelum menamatkan perlawanan pusingan awal mereka bagi menentang Guangzhou Evergrande pada 4 Dis.

Semua perlawanan itu akan berlangsung di Qatar.

JDT kini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan G dengan tiga mata selepas dua perlawanan (satu seri dan satu kalah). Vissel Kobe kekal di tempat teratas dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Setelah tamat perlawanan awal Zon Timur, saingan akan diteruskan dengan pusingan kedua (pusingan 16 pasukan terakhir) pada 6 dan 7 Dis; peringkat suku akhir (10 Dis), separuh akhir (13 Dis), diikuti dengan perlawanan akhir pada 19 Dis.

Sebelum ini, AFC mengumumkan bahawa kedua-dua Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC akan diadakan di lokasi berpusat dengan semua perlawanan di peringkat kumpulan untuk kedua-dua saingan tersebut akan berlangsung secara lengkap dan seterusnya peringkat kalah mati, melibatkan satu perlawanan bagi setiap pasukan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan