Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Qatar rasmikan stadium Piala Dunia pertama; FIFA usul perluas pertandingan

Qatar merasmikan stadium yang pertama daripada tujuh stadium baru bagi Piala Dunia 2022 pada Khamis (16 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Qatar rasmikan stadium Piala Dunia pertama; FIFA usul perluas pertandingan

Pertunjukan bunga api mengawali perlawanan sulung di Stadium Al Janoub. (Gambar: AFP/Karim Jaafar)

Diterbitkan : 17 May 2019 08:22AM Dikemas Kini : 17 May 2019 08:28AM

DOHA: Qatar merasmikan stadium yang pertama daripada tujuh stadium baru bagi Piala Dunia 2022 pada Khamis (16 Mei), hanya beberapa minggu sebelum sidang puncak FIFA yang akan menentukan sama ada temasya bola sepak itu akan diperluaskan dan turut diadakan di sebuah lagi negara bagi menampung format yang lebih besar.

Para penonton membanjiri stadium Al Janoub, yang berbentuk seperti kapal layar tradisional dengan kapasiti 40,000 penonton, untuk memberi sorakan kepada pasukan-pasukan Qatar semasa perlawanan akhir pertandingan bola sepak tempatan Piala Amir.

Stadium Al Janoub dibuka sedang Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menimbangkan rancangan untuk mengembangkan Piala Dunia seterusnya untuk melibatkan 48 pasukan berbanding 32 buat masa ini.

Rancangan itu memerlukan sebuah lagi negara untuk menjadi tuan rumah pada saat-saat akhir di tengah-tengah pertikaian antara Qatar dengan sesetengah negara jiran, larangan terhadap peminuman arak dan kekurangan kemudahan yang dijangka akan menyukarkan pemilihan negara calon yang sesuai.

Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir mengenakan sekatan politik dan perdagangan terhadap Qatar sejak pertengahan 2017 dengan dakwaan bahawa negara itu menaja kegiatan pengganas. Doha sudah berkali-kali menyangkal dakwaan tersebut.

Perselisihan itu menyulitkan usaha Presiden FIFA Gianni Infantino untuk memilih satu lagi negara tuan rumah meskipun perlawanan-perlawanan kelayakan dijadual bermula awal bulan depan.

FIFA akan mengadakan kongres tahunannya di Paris pada 5 Jun, di mana ia dijangka membuat keputusan muktamad tentang peluasan Piala Dunia. Namun sebarang keputusan mesti dipersetujui oleh Qatar, iaitu negara Arab pertama diberi hak menghoskan pertandingan itu pada 2010.

Perlawanan akhir Piala Dunia dijadual bermula pada November 2022, dan bukan pada Jun hingga Julai seperti yang lazim dilakukan, bagi mengelak bahang musim panas.

Qatar melaksanakan peningkatan prasarana besar-besaran menjelang 2022, termasuk perbelanjaan AS$6 bilion hingga AS$8 bilion (S$8.2 bilion hingga AS$10.9 bilion) bagi pembinaan stadium-stadium dan kemudahan-kemudahan sukan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan Piala Dunia dalam usaha mempelbagaikan ekonominya yang berteraskan bekalan tenaga dan menempah nama dalam arena antarabangsa menerusi sukan.

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan