Images
  • fifa world cup
    Logo rasmi Piala Dunia Qatar 2022. (Gambar: GABRIEL BOUYS/AFP)

Qatar lancar logo Piala Dunia 2022

DOHA: Qatar melancarkan logo rasmi Piala Dunia 2022, yang akan dihoskan oleh negara itu dan logonya turut dipaparkan di Doha serta bandar-bandar utama seluruh dunia pada Selasa (3 Sep).

Logo itu adalah rekaan selendang uniseks putih Arab dengan corak berwarna merah pulasan dan dibentuk seperti nombor lapan yang membawa simbol infiniti, mencipta bentuk hati di atas perkataan ‘FIFA WORLD CUP Qatar 2022’.

Ia dipancarkan di pekarangan Bangunan Arkib Negara dekat Bandar Msheireb, bahagian selatan Doha, lengkap dengan kawalan tentera berkuda sambil disaksikan ratusan hadirin.

Ia dipancarkan ke arah bangunan itu tepat pada jam 20:22 waktu tempatan (1722 GMT) – sebagai simbol tahun penganjurannya iaitu 2022.

"Logo itu sangat anggun dengan menampilkan budaya tempatan dihiasi warna yang terdapat pada bendera Qatar," kata seorang pekerja sektor pelayanan Algeria, Mourad Bencheikh, 36 tahun.

Logo berkenaan turut dilancarkan di Madrid, Buenos Aires dan Beirut serta beberapa bandar utama lain di dunia.

Para pegawai penganjur Qatar berkata rekaan logo itu diilhamkan daripada selendang tradisional warga tempatan yang lazim dipakai sepanjang musim sejuk.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung pada November hingga Disember ini bagi mengelak cuaca terik di negara teluk itu.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Qatar sudahpun meningkatkan persiapan promosi ke peringkat sejagat.

Mei lalu, Qatar merasmikan Stadium al-Janoub - stadium pertama dibangunkan bagi pertandingan tersebut - dengan kapasiti 40,000 penonton.

Arena stadium itu hasil rekaan juru seni bina kelahiran Britain-Iraq, Zaha Hadid, dibina di sebuah bandar di tepi pantai selatan Doha, dengan harga AS$575 juta (S$799 juta).

Daripada lapan stadium dibina atau diperbaharui untuk Piala Dunia 2022, Stadium Antarabangsa Khalifa sudahpun dibuka dan bakal menghoskan Kejohanan Atletik Sedunia tahun ini.  

- AFP/FZ/fz

Top