Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Projek nasional baru galak anak muda ceburi sukan bola sepak

Pemerintah akan melancarkan satu projek nasional bagi bola sepak untuk mewujudkan peluang-peluang untuk rakyat muda Singapura menjalani latihan dan mungkin menjadi pemain profesional.

Anggaran Waktu Membaca:
Projek nasional baru galak anak muda ceburi sukan bola sepak

Peminat bola sepak Singapura menyokong pasukan negara.

Diterbitkan : 08 Mar 2021 06:31PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 06:34PM

SINGAPURA: Pemerintah akan melancarkan satu projek nasional bagi bola sepak untuk mewujudkan peluang-peluang untuk rakyat muda Singapura menjalani latihan dan mungkin menjadi pemain profesional.

Demikian menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Isnin (8 Mac).

"Bola sepak adalah sukan yang diminati ramai. Ia adalah sukan berpasukan yang paling banyak dimainkan di Singapura, menyatukan rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang. Sebuah pasukan kebangsaan yang boleh bermain di peringkat tertinggi mengesahkan kewujudan berbilang laluan kejayaan di Singapura dan ia adalah sumber kebanggaan nasional," kata beliau.

"Tahap sukan bola sepak kita tidak begitu yang kita inginkan. Kita boleh lakukan lebih banyak lagi, kita boleh lakukannya dengan lebih baik untuk mengembalikan Sorakan Kallang dan memberi peluang kepada pasukan Singa Muda kita untuk mencapai impian mereka," kata Encik Tong semasa perbahasan jawatankuasa Perbekalan kementeriannya di Parlimen.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Sports Singapore (SportSG) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan memperkenalkan program bola sepak itu secara berperingkat.

Fasa pertama akan memastikan para pemain bola sepak mempunyai "sekitaran yang betul" untuk berjaya, sekali gus meletakkan asas bagi pasukan bola sepak Singapura dari pelbagai peringkat usia untuk lebih bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa, menurut MCCY dalam kenyataannya.

FAS akan membangunkan Kurikulum Bola Sepak terpiawai bagi kegiatan luar darjah (CCA) di sekolah-sekolah rendah. Sekitar 2,000 pelajar lelaki dari setiap kohort sekolah rendah akan belajar teknik dan taktik bermain bola sepak di bawah kurikulum itu, menurut Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Eric Chua.

Beliau menambah ia adalah "visi inklusif" melibatkan murid perempuan kerana MCCY juga mahu meningkatkan penyertaan wanita dalam sukan bola sepak.

FAS juga akan meningkatkan jumlah jurulatih berkelayakan dalam bola sepak di sekolah-sekolah, dengan sasaran untuk memastikan semua jurulatih bola sepak di sekolah-sekolah mempunyai sekurang-kurangnya Lesen 'C' Gabungan Bola Sepak Asia.

Semua kelab bola sepak awam dan privet juga akan mempunyai akses kepada kurikulum tersebut.

"Kami mahu menggalak kurikulum itu digunakan di merata negara untuk meningkatkan piawai pemain bola sepak kita," menurut MCCY.

Sementara itu, sekolah-sekolah menengah yang terpilih akan mempunyai akademi bola sepak dengan sokongan latihan yang dipertingkat.

FAS akan menganjurkan liga belia elit, selain pertandingan-pertandingan sedia ada di sekolah, untuk membuka lebih banyak peluang kepada para belia dengan keupayaan berbza-beza untuk bertanding.

Para pelajar berbakat di luar akademi akan disunting untuk Pusat Pembangunan Akademi Bola Sepak ActiveSG untuk memberikan mereka tahap sokongan latihan yang serupa serta pendedahan kepada pertandingan," kata Encik Chua.

PELUANG LUAR NEGARA DAN PERKHIDMATAN NEGARA

Para belia terbaik dalam bola sepak yang ingin melanjutkan kerjaya dalam sukan itu secara profesional akan ditawarkan biasiswa dalam dan luar negara, kata Encik Chua.

FAS juga sedang meneroka kerjasama dengan institusi-institusi bola sepak luar negara seperti La Liga, Kelab Bundesliga Borussia Dortmund dan kolej-kolej Australia seperti Kolej Maribyrnong.

Di dalam negara pula, FAS akan bekerjasama dengan kelab-kelab seperti Lion City Sailors untuk menyediakan peluang yang sama.

"Membangunkan para pemain bola sepak muda di samping menyokong pembangunan akademik mereka akan memberikan jaminan kepada para belia dan ibu bapa mereka bahawa ada laluan berdaya maju untuk bermain bola sepak secara profesional," menurut MCCY dalam kenyataannya.

Bersama-sama dengan Kementerian Pertahanan, MCCY sedang menimbangkan untuk menyokong para pemain bola sepak yang layak menerusi perkhidmatan negara lebih awal, cuti dan pelepasan waktu untuk anggota NS sepenuh masa menjalani latihan serta peluang-peluang untuk berlatih dan bermain di tahap tinggi di samping memenuhi kewajipan NS mereka.

MUTU LATIHAN, SAINS & TEKNOLOGI DAN PRASARANA

Untuk mempertingkat mutu para jurulatih, semua jurulatih dan karyawan akan dilatih untuk mengajar Kurikulum Bola Sepak Nasional.

SportSG dan FAS akan mewujudkan rangkaian mengenal pasti dan mencari bakat di dalam dan luar negara serta secara proaktif menghubungkan bakat-bakat tempatan bola sepak dengan kelab-kelab luar negara untuk memberikan mereka "peluang pembangunan bermutu tinggi", menurut MCCY.

Satu sistem pangkalan data pemantauan atlit seluruh negara akan menjadi pusat menjejak pembangunan semua pemain bola sepak dalam ekosistem tempatan. Ia akan beroperasi di samping Pusat Tinggi Bola Sepak, kata Encik Chua.

Selain itu, SportSG akan mempertingkat prasarana sedia ada dan memaksimumkan ruang-ruang bermain supaya lebih ramai orang boleh kerap bermain. Namun projek kebangsaan itu memerlukan lebih daripada satu ramuan untuk berjaya, kata Encik Tong.

"Ia memerlukan kita semua, bekerjasama, bersatu, ke satu arah, untuk projek ini berpeluang mencapai kejayaan. Usaha mempertingkat sukan bola sepak di Singapura adalah satu projek nasional dan saya menggalak kita semua untuk menyokong matlamat kita bersama."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan