Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Program S$1.6 juta diperkenal, bimbing atlit kurang daya intelek dan tangkis tanggapan

300 atlit kurang daya intelek akan mendapat bimbingan demi membantu mereka membina daya kehidupan yang lebih baik dan menonjolkan potensi penuh mereka di luar medan sukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 300 atlit kurang daya intelek akan mendapat bimbingan demi membantu mereka membina daya kehidupan yang lebih baik dan menonjolkan potensi penuh mereka di luar medan sukan.

Malah lebih 12,000 anak muda juga akan didekati menerusi pelbagai daya usaha demi menolak tanggapan negatif terhadap golongan kurang daya intelek.

Itulah antara program-program yang akan dilancarkan hasil kerjasama tiga tahun bernilai AS$1.25 juta (S$1.64 juta) antara Olimpik Khas Asia Pasifik dengan syarikat insurans FWD Group.

Program-program yang dilakarkan itu akan melibatkan golongan muda di rantau ini sebagai usaha membentuk masyarakat sejagat lebih inklusif.

Ia akan memberi manfaat kepada anak-anak kurang daya intelek di serata Asia Pasifik, iaitu di Singapura, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Vietnam, Thailand dan Filipina.

ATLIT AKAN DIBIMBING CARI KERJA DAN HIDUP BERDIKARI

Sekitar 100 wakil dan atlit Olimpik Khas Asia Pasifik berada di Singapura hari ini (1 Feb) untuk menghadiri persidangan kepimpinan serantau tahunan.

(Gambar-gambar: FWD Group)

Tetapi perjumpaan kali ini lebih bermakna kerana mereka turut membincangkan hala tuju program tiga tahun hasil kerjasama dengan syarikat insurans FWD Group.

Kedua-dua pihak mempunyai visi yang sama - mendukung pembangunan menyeluruh golongan kurang daya intelek - suatu kondisi yang dialami lebih 200 juta kanak-kanak sejagat.

FWD akan menaja Olimpik Khas dalam dua program khusus - Program Sekolah-sekolah Gabungan dan Program Kepimpinan Atlit.

Di bawah Program Kepimpinan Atlit, 300 atlit akan dibimbing untuk mempelajari pelbagai kemahiran relevan agar dapat mencari pekerjaan dan hidup berdikari.

Bagi menyokong keperluan mereka, seramai 200 mentor juga akan dilatih.

LIBATKAN 90 BUAH SEKOLAH

Di bawah Program Sekolah-sekolah Gabungan pula ia diharap dapat mendekati 12,000 anak muda dalam usaha mengubah pemikiran negatif orang ramai terhadap golongan kurang daya intelek.

(Gambar: FDW Group). 

Ia akan dilakukan menerusi pelbagai acara sukan dan kemasyarakatan, menerusi pelibatan 90 sekolah dan orang awam.

Antara atlit khas yang bakal melalui Program Kepimpinan Atlit ialah perenang Stephanie Handojo dari Indonesia. Beliau sudah menyertai Sukan Olimpik Khas buat lima kali sejak 2005. Kini beliau teruja untuk meraih pengalaman baru di samping kegiatan sukannya.

"Saya senang dan bangga sekali kerana tidak semua orang diberikan kesempatan. Saya dulu trauma kerana pernah tenggelam di dalam kolam renang sehingga saya bangkit," kata Cik Stephanie yan berusia 26 tahun.

Turut hadir di acara siang tadi ialah pelari berkaki prostetik atau Blade Runner Singapura, Shariff Abdullah, yang beramah mesra dengan para atlit khas ini.

'BLADE RUNNER' S'PURA SHARIFF ABDULLAH TAMPIL BERI SOKONGAN

Shariff, yang bakal ditaja FWD Insurance untuk maraton Kutub Utara pada April ini, mengambil peluang itu untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada pembangunan Olimpik Khas Asia Pasifik.

"Kanak-kanak yang khas, mereka ada impian mereka sendiri, mereka ingin mengejar impian mereka. Dengan wang yang ada itu, 100% saya akan berlari sambil menyokong. Semoga mereka juga dapat mencapai kejayaan mereka di Olimpik Musim Sejuk akan datang nanti," kata Shariff.

Shariff akan berangkat ke Nepal, akhir Mac nanti dan kemudian ke Norway untuk membuat latihan mempersiapkan diri bagi maraton Kutub Utara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan