Images
  • tokmat takraw
    Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail. (Gambar: BERNAMA)

Presiden Persatuan Sepak Takraw M'sia digantung 15 tahun bermula 6 Mei

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail digantung selama 15 tahun mulai Khamis (6 Mei) oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) semalam.

Pengerusi Pendengaran Jawatankuasa Tatatertib ASTAF Prof Chalerm Chaiwatcharaporn dalam satu kenyataan berkata Ahmad atau lebih dikenali sebagai “Tok Mat” juga dikehendaki membayar balik kepada ASTAF sebanyak AS$25,000 (S$33,400) untuk menampung kos melaksanakan keseluruhan pendengaran jawatankuasa tatatertib yang berlangsung secara maya pada Rabu.

“Jika gagal melunaskan bayaran itu, beliau akan digantung dua tahun lagi,” katanya.

Chalerm berkata Ahmad Ismail mempunyai 14 hari untuk merayu terhadap pertuduhan dan hukuman terhadapnya.

Beliau berkata Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan itu selepas mendengar empat pertuduhan terhadap Ahmad kerana menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF pada 24 Feb.

Menurut kenyataan itu, pertuduhan pertama adalah menyalahi Perkara 2d(viii) Undang-Undang Kecil ASTAF melalui surat yang dihantar bertarikh 24 Februari yang merupakan satu perbuatan atau kenyataan bertulis yang tidak budiman, menghina atau tidak wajar atau seakan-akan membawa nama tidak baik kepada sukan itu.

Pertuduhan kedua pula menyalahi Perkara 5.3 Perlembagaan ASTAF menerusi surat sama yang merupakan satu percubaan untuk mengganggu atau menjadikan pengurusan efisien ASTAF menjadi tidak stabil.

“Ketiga, Ahmad didakwa melanggar Perkara 5.5 Perlembagaan ASTAF, menerusi surat berkenaan, beliau cuba memusnahkan kebebasan ASTAF dalam semua hal secara langsung atau tidak langsung mengenai sukan sepak takraw dengan meminta bantuan OCA dan OIC untuk campur tangan dalam Pemilihan Ahli Majlis ASTAF pada 1 Mac.

"Keempat, Ahmad menerusi alasannya dalam surat bertarikh 24 Februari itu didakwa atas kapasitinya selaku Presiden PSM kerana melanggar perjanjian bertulis yang beliau berikan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF pada 14 Mac 2008 untuk menyokong ISTAF dan ASTAF mewujudkan dan mengekalkan pentadbiran yang efisien di persekutuan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Tok Mat digantung masing-masing selama lima tahun daripada sepak takraw di peringkat tempatan serta antarabangsa sementara bagi pertuduhan keempat, beliau digantung selama 10 tahun daripada sepak takraw tempatan dan antarabangsa.

“Hukuman bagi pertuduhan pertama dan keempat berjalan secara berturut-turut sementara pertuduhan kedua dan ketiga akan berjalan secara serentak. Maka, keseluruhan hukuman yang dikenakan ialah 15 tahun bermula dari 6 Mei 2021,” kata Chalerm. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top