Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Presiden ASTAF Abdul Halim intai tubuh akademi sepak takraw di 5 negara

Penubuhan akademi sepak takraw di Malaysia, Singapura, Iran, Qatar dan India menjadi misi utama Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader selepas dipilih semula untuk menerajui badan induk sukan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden ASTAF Abdul Halim intai tubuh akademi sepak takraw di 5 negara

Presiden ASTAF Abdul Halim Kader. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 09:17PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 09:22PM

KUALA LUMPUR: Penubuhan akademi sepak takraw di Malaysia, Singapura, Iran, Qatar dan India menjadi misi utama Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader selepas dipilih semula untuk menerajui badan induk sukan itu.

Abdul Halim berkata beliau akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan terbaru ASTAF bagi menghidupkan kembali usaha penubuhan akademi berkenaan setelah gagal merealisasikan impian tersebut sebelum ini.

Katanya lagi, penubuhan akademi itu dilihat sebagai usaha mencungkil bakat sepak takraw pada masa hadapan, selain memelihara warisan sukan yang menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat di Asia Tenggara amnya.

“Saya berhasrat menubuhkan hab akademi ini di Singapura yang akan dilatih oleh barisan jurulatih serta pakar sepak takraw dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.

"Saya percaya dapat merealisasikan impian bagi tempoh empat tahun akan datang,” katanya lagi.

Abdul Halim mengekalkan jawatan presiden ASTAF dan akan terus menerajui persekutuan itu bagi satu lagi penggal dari 2021 hingga 2025. 

Beliau mengetepikan persaingan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Ahmad Ismail dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura Mohd Nasri Haron (PERSES) selepas meraih 30 undi pada pemilihan Majlis ASTAF sempena Kongres ASTAF pada Isnin lalu (1 Mac).

Abdul Halim pada masa yang sama menarik perhatian mahu berusaha menarik negara lain dari Asia Barat untuk turut sama menganggotai ASTAF pada masa hadapan.

Mengulas mengenai pemilihan semula beliau untuk menerajui ASTAF, Abdul Halim berikrar akan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang dipikulnya sebaik mungkin.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan