Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Polis siasat bekas wakil Joseph Schooling kerana gagal sedia tiket bola sepak ICC

Pihak polis sedang menyiasat bekas wakil Joseph Schooling, Hafidz Ja'afar berhubung dakwaan bahawa dia tidak menyediakan tiket-tiket yang dijualnya bagi perlawanan bola sepak Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat bekas wakil Joseph Schooling kerana gagal sedia tiket bola sepak ICC

(Gambar: Alvin Toh/SSA)

Diterbitkan : 25 Jul 2019 03:01PM Dikemas Kini : 25 Jul 2019 10:17PM

SINGAPURA: Pihak polis sedang menyiasat bekas wakilJoseph Schooling, Hafidz Ja'afar berhubung dakwaan bahawa dia tidak menyediakan tiket-tiket yang dijualnya bagi perlawanan bola sepak Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

"Pihak polis mengesahkan bahawa satu laporan dibuat dan siasatan sedang dijalankan," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) kepada Mediacorp pada Khamis (25 Jul).

Ini berikutan seorang lelaki berusia 37 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai David, memfailkan laporan polis terhadap Encik Hafidz. Dalam laporan yang dilihat oleh Mediacorp, lelaki itu mendakwa bahawa beliau sudah membayar Hafidz bagi mendapatkan tiket-tiket bagi perlawanan bola sepak antara Manchester United dengan Inter Milan pada Sabtu, namun tidak menerima tiket-tiket itu.

Secara berasingan, sekolah renang Schooling memuat naik di Facebook pada Rabu malam bahawa Encik Hafidz, yang pertugas sebagai pengurus di sekolah itu "tidak lagi berkhidmat" dengan syarikat itu.

"Dia tidak dibenarkan melakukan sebarang urus niaga, mengumpul wang atau bertindak bagi pihak syarikat," menurut Swim Schooling.

David memberitahu Mediacorp bahawa Encik Hafidz kekal tidak dapat dihubungi selepas pada mulanya memberi maklumat terkini bila tiket-tiket itu dijangka dapat dihantar.

"Saya tidak menjangkakan perkara ini kerana saya sudah mengenalinya selama 19 tahun," kata David yang bekerja dalam sektor hartanah. "Ia lebih kepada mempercayai seorang rakan lama, dan saya tahu dia adalah (bekas) pengurus Joseph Schooling."

Menurut David, Encik Hafidz mendekatinya menerusi Facebook pada 3 Apr dan berkata bahawa dia mempunyai kenalan di Sports Hub yang boleh menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus bagi tiket perlawanan Manchester United.

Pada hari yang sama, David memindahkan S$1,070.40 kepada Encik Hafidz menerusi PayNow bagi enam tiket kategori 1. Menurut David, Encik Hafidz memberitahunya bahawa Sports Hub akan mengirimkan tiket-tiket itu kepadanya secara langsung.

Bagaimanapun setelah dua minggu berlalu, David berkata bahawa Encik Hafidz memberitahunya dia "tersilap" menerima tiket-tiket itu dan dia akan menghantar tiket-tiket itu dalam masa seminggu.

"Sejak itu hingga hari perlawanan, kami membuat perancangan untuk berjumpa sekitar 70 kali," menurut Encik David.

David pernah berfikir untuk pergi ke rumah Encik Hafidz, bagaimanapun beliau difahamkan hanya bekas isterinya yang tinggal di situ.

"Saya tidak rasa akan dapat wang saya kembali; saya anggap ini pengajaran bagi saya. Saya berharap orang lain yang mengalami kerugian lebih besar, akan mendapat wang mereka kembali," menurutnya.

Mediacorp sudah menghubungi Encik Hafidz untuk mengulas perkara itu.

Keluarga Schooling melantik Encik Hafidz pada September 2016 untuk mengendalikan bagi pihak mereka sebarang pertanyaan media dan komersil. Ini dilakukan sebulan selepas Joseph memenangi pingat emas Olimpik pertama Singapura.

Dalam satu kenyataan, keluarga Schooling berkata Encik Hafidz "membantu kami pada 2016 dalam mengendalikan pertanyaan media selepas Joseph menang di sukan Olimpik Rio".

"Berhubung peranannya di Swim Schooling, ia sekadar peranan separuh masa dan pelantikannya ditamatkan pada Julai 2019. Aduan polis sudah dibuat dan kami tidak boleh mengulas lanjut," menurut kenyataan itu.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan