Images
  • pogba
    Paul Pogba. (Gambar: Glyn Kirk/ AFP)

Pogba mahu tinggalkan Man Utd, kembali ke Juventus

MANCHESTER: Media melaporkan kapten pasukan Manchester United Paul Pogba sudah menyampaikan hasratnya kepada pihak pengurusan untuk meninggalkan pasukan itu seawal Januari.

Malaysiakini melaporkan, perkembangan terbaru itu dikatakan susulan hubungan keruh Pogba dengan pengurus pasukan Jose Maurinho.

Pogba sebelum ini dilapor berkata: "Jika anda tidak gembira (bermain dalam pasukan sendiri) anda tidak boleh beraksi dengan baik.

"Ada hal yang saya tidak boleh katakan kerana saya akan didenda".

Susulan itu, Pogba kini dilaporkan berminat untuk kembali menyertai kelab lamanya di Serie A untuk bermain bersama seorang lagi bekas pemain Red Devils, Cristiano Ronaldo.

Menurut Malaysiakini lagi, pemain kebangsaan Perancis itu menyertai Manchester United pada 2016 dengan bayaran perpindahan dari Juventus bernilai £89 juta (S$158.1 juta).

Pengulas Sky Sports yang juga merupakan bekas pengurus pasukan Liverpool Graeme Souness sebelum ini mengkritik sikap dan corak permainan Pogba sebagai mementingkan diri sendiri.

"Pogba hanya bermain untuk diri sendiri, dia hanya mahu dilihat bagus dan menunjuk-nunjuk kepada kita betapa pandainya dia.

"Saya rasa Pogba cuma ada di pasukan itu untuk mengekalkan nilai perpindahannya sehingga Manchester United mampu menjualnya kerana dia tidak ada sebab lain untuk layak berada di tempatnya," katanya, seperti ditukil Malaysiakini.

Pada penghujung musim lalu, hubungan Pogba dengan Mourinho menjadi keruh kerana perbezaan pendapat dari segi taktik.

Pada musim ini, anak buah Maurinho tewas dua perlawanan dari tiga setakat ini yang meletakkan mereka di tangga ketujuh tercorot.

- Agensi berita/TQ/tq

Top