Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Piala Selebriti Singapura-Malaysia 2019: Penentuan sepakan penalti

Legenda bola sepak Singapura kembali beraksi di Stadium Jalan Besar malam semalam (5 Okt) dalam satu perlawanan persahabatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Legenda bola sepak Singapura kembali beraksi di Stadium Jalan Besar malam semalam (5 Okt) dalam satu perlawanan persahabatan.

Lawan mereka - pasukan artis dari Malaysia.

BERITAmediacorp juga tidak melepaskan peluang untuk turun padang bagi melihat sendiri aksi menarik Piala Selebriti Singapura-Malaysia 2019, yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Pertarungan antara bekas pemain profesional dengan pasukan artis itu mungkin nampak seakan berat sebelah.

Singapura diwakili atlet seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, Noh Alam Shah dan Samad Allapitchay.

Dari seberang tambak pula, wajah-wajah yang menjadi idola ribuan peminat termasuk Tomok New Boyz, Black Hanifah, Roy Azman, Fahrin Ahmad dan Yasin Senario.

Namun, ternyata artis-artis dari Malaysia ini memberi persaingan yang hebat.

Pada separuh pertama, kedua-dua pasukan mencatat seri 2-2.

"Pemain undangan, artis-artis Malaysia ini semua muda-muda padahal pemain Singapura semua dalam lingkungan 50-an, 60-an tahun," ujar Razali Saad, bekas Kapten Bola Sepak Negara.

Bagaimanapun, pengalaman pasukan Singapura terbukti mampu mengatasi bakat-bakat muda seberang tambak, apabila menang 8-4 menerusi tendangan penalti.

"Ini adalah satu pengalaman yang sangat bernilai untuk kami pasukan dari Malaysia dapat berjumpa dengan legenda bola sepak Singapura, dapat bermain di padang yang sangat hebat ini. Kita dapat lihat walaupun mereka sudah berumur tapi tetap sentuhan masih berbisa," kata Tomok, penyanyi Malaysia yang mewakili pasukan MASC dalam pertandingan tersebut.

(Gambar: BERITAmediacorp/Asyraf Yunos)

"Kita tidak pernah bermain dengan pasukan artis tetapi mereka memeranjatkan kita dengan serangan-serangan, meskipun beberapa kali percubaan kena palang," kata Fandi Ahmad, bekas pemain kebangsaan.

“Penonton amat luar biasa hari ini, sorakan mereka untuk kedua-dua pasukan. Kita di sini hanya menghiburkan peminat-peminat. Saya harap kita dapat bertemu lagi kerana walaupun ia satu pertandingan persahabatan, ia mengeratkan persahabatan,”ujarnya lagi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Impact Music & Entertainment and Boss Production)

Turut menyaksikan perlawanan malam semalam ialah Menteri Negara Kanan Undang-undang merangkap Kesihatan Edwin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Bagi 2,000 penonton yang hadir, menang kalah bukan jadi keutamaan.

Mereka membanjiri ruang stadium untuk menyokong pemain bola sepak dan artis kegemaran mereka.

Pihak penganjur berharap dapat menjadikan perlawanan itu satu acara tahunan untuk mengeratkan silaturahim antara Singapura dengan Malaysia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan