Images
  • south africa wales
    Afrika Selatan tewaskan Wales 19-16 dalam separuh akhir Piala Dunia Ragbi pada 27 Okt 2019 (Gambar: AFP/Odd Andersen)

Piala Dunia Ragbi: Afrika Selatan berdepan England setelah tewaskan Wales

YOKOHAMA: Afrika Selatan bakal berdepan dengan England bagi perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi setelah Handre Pollard menyumbangkan 14 mata untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan 19-16 ke atas Wales di Yokohama pada Ahad (27 Okt).

Pollard menghasilkan tendangan penalti penentu semasa waktu tambahan setelah perlawanan seri 16-16.

"Kami berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia... namun ini baru separuh perjalanan kami. Kami ingin menjulang Piala Dunia," kata jurulatih Afrika Selatan Rassie Erasmus.

"Kami akan berdepan dengan pasukan England yang hebat nanti di peringkat akhir. Kami mempunyai peluang sekarang dan mungkin sahaja akan memanfaatkannya. Siapa sangka."

Juara dunia 1995 dan 2007 itu bertarung dengan sengit namun akhirnya berjaya menyingkirkan Wales yang kecundang di tahap separuh akhir kejuaraan buat kali ketiga, setelah sebelum ini kalah pada 2011 dan 1987.

"Rezeki tidak berpihak kepada kami namun saya tetap berbangga menyarungkan jersi ini dan mewakili semua penyokong di stadium ini," kata kapten pasukan Wales, Alun Wyn Jones, yang hampir-hampir menitiskan air mata.

- AFP/TQ/tq

Top