Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Piala Dunia 2018: Pemain beragama Islam berpuasa sambil gigih berlatih

Piala Dunia 2018 yang akan diadakan di Rusia bakal membuka tirai pada malam Hari Raya iaitu 14 Jun, dengan pasukan tuan rumah dijadualkan bertemu dengan Arab Saudi pada 11.00 malam waktu Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Piala Dunia 2018: Pemain beragama Islam berpuasa sambil gigih berlatih

Gambar fail.

Diterbitkan : 01 Jun 2018 03:15PM Dikemas Kini : 01 Jun 2018 11:18PM

BERITAMediacorp: Piala Dunia 2018 yang akan diadakan di Rusia bakal membuka tirai pada malam Hari Raya iaitu 14 Jun, dengan pasukan tuan rumah dijadualkan bertemu dengan Arab Saudi pada 11.00 malam waktu Singapura.

Ini bermakna sesi latihan bagi termasya yang dinanti-nantikan ramai itu berlangsung pada bulan Ramadan.

Pastinya ramai yang berminat mengetahui bagaimana para pemain beragama Islam berpuasa sambil menjalani latihan intensif semata-mata untuk membawa pulang piala berprestij itu buat tanahair mereka.

Ini lebih-lebih lagi selepas bintang Liverpool, Mohamad Salah mencetus heboh di media sosial berhubung ibadah puasanya menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA.

‘SALAH’KAH TAK PUASA DALAM KEADAAN MUSAFIR?

Meskipun gigih berpuasa sepanjang berlatih di Marbella, Salah membuat keputusan untuk tidak berpuasa bermula tiga hari sebelum beraksi di perlawanan akhir di Kiev itu.

The Independent melaporkan bahawa menurut ajaran Islam, seseorang itu dibolehkan membatalkan puasa atas sebab musafir.

Namun, keputusan yang dibuat mengikut nasihat ahli fisioterapi The Reds itu, dikatakan adalah punca pemenang But Emas Liga Perdana England tersebut mengalami kecederaan di bahu hanya 30 minit selepas perlawanan berlangsung.

Pendakwah dari Kuwait, Mubarak al-Bathali, berkata bahawa Salah berdosa kerana berbuka puasa gara-gara untuk perlawanan akhir itu di mana Liverpool kalah 1-3, bukan atas alasan musafir.

Al-Bathali mendakwa Salah diberi nasihat yang kurang baik sambil menulis dalam catatan Twitter beliau: “Malangnya [Salah] dipertanggungjawabkan atas dosanya itu.”

Malah, pendakwah itu turut menambah: “Jangan bersedih, pintu taubat masih terbuka,” lapor The Mirror.

AMBIL LANGKAH BERSESUAIAN DENGAN PEMAIN MUSLIM

Tidak seperti Al-Bathali, sesetengah pihak berkuasa mengeluarkan fatwa, membolehkan pemain bola sepak profesional untuk tidak berpuasa di hari perlawanan.

Misalnya, Mvslim.com melaporkan bahawa Presiden Majlis Pusat Muslim Jerman Aiman Mazyek menulis dalam satu kenyataan: “Seseorang pemain profesional itu boleh membayar balik puasanya di hari-hari di mana tiada perlawanan yang dijadualkan dan dengan itu, menghormati perintah agama dan bulan Ramadan”.

Menurut laman itu lagi, Universiti Al-Azhar juga mengeluarkan fatwa serupa tetapi ia maklum bahawa sesetengah pemain beragama Islam tetap ingin meneruskan puasa mereka.

Bagi pemain sedemikian, jurulatih pasukan mengambil langkah-langkah tambahan untuk memantau keadaan kesihatan mereka sepanjang bulan ini.

Jurulatih Mesir, Hector Cuper berkata bahawa langkah-langkah itu diambil untuk memastikan skuad negara dalam keadaan yang terbaik untuk bertanding tetapi tetap menjalani ibadah berpuasa pada masa yang sama.

“Persatuan Bola Sepak Mesir sudahpun mendapatkan para pakar untuk membantu saya dan para pemain khas buat bulan Ramadan ini.

“Kami akan menyusun dan memantau pemakanan dan tidur mereka dan berharap ia tidak akan terjejas,” kata beliau kepada para wartawan, menurut laporan Goal.com.

Jurulatih warga Belanda, Pim Verbeek pula yang memimpin pasukan Oman, berkata bahawa beliau harus mengatur sesi latihan supaya sesuai dengan para pemain Muslim.

“Memang ia berlainan. Anda berlatih sekali sahaja, (meskipun) anda secara ideal mahu berlatih dua kali sehari,” kata beliau.

Namun, Goal.com melaporkan jurulatih berkenaan berkata: “Sesi sebelah malam kami berjalan dengan lancar dan kami juga (berpeluang) menyimpan tenaga untuk termasya itu nanti.”

SAMA ADA PUASA ATAU TIDAK, HAL PERIBADI

Pada masa yang sama, ada jurulatih yang kurang selesa berbincang tentang isu berpuasa.

Di sebuah sidang media Piala Dunia 2014, jurulatih Algeria Vahid Halilhodzic berang apabila ditanya bagaimana beliau mengaturkan latihan bagi para pemain yang berpuasa ketika itu.

"Ini hal peribadi dan apabila anda bertanya mengenainya, anda kurang beradab. Para pemain akan melakukan mengikut kemampuan mereka dan saya mahu menghentikan kontroversi ini,” kata beliau.

Menurut laporan ESPN.com itu, jurulatih tersebut dikritik media tempatan atas cara beliau mentadbir pasukannya pada bulan Ramadan, sedang ia gigih berlatih selepas mara ke peringkat 16 pasukan terakhir termasya berkenaan.

Dalam pada itu, pengurus Liverpool juga enggan memberi komen apabila ditanya tentang Salah dan Mane, berhubung ibadah berpuasa.

“Seperti yang saya faham, agama adalah hal peribadi dan tiada apa-apa yang saya ingin katakan mengenainya,” ujar beliau, menurut laporan REUTERS.  

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan