Images
  • syria footballer
    Ombar Khrbin dari pasukan Syria semasa perlawanan dengan Palestin di Stadium Sharjah. (Gambar: AFP)

Piala Asia AFC 2019: "Kami boleh ikut jejak Iraq pada 2007," kata jurulatih Syria

ABU DHABI: Ketua jurulatih pasukan Syria, Bernd Stange, berkata pasukannya seolah-olah "berdepan dengan situasi amat mencabar" dalam perlawanan bola sepak menentang Palestin, selepas pasukannya terikat dengan keputusan seri tanpa gol ketika bertemu pasukan lawan mereka itu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Asia.

Meskipun Syria gagal menepati jangkaan dalam perlawanan pembukaan mereka itu, Stange berkata pasukannya sekurang-kurangnya berjaya mengelakkan kekalahan mengejut, tidak seperti Australia di dalam Kumpulan B.

Jordan, yang akan bertemu Syria dalam perlawanan seterusnya, berjaya menewaskan Australia 1-0 di Al Ain pada Ahad (6 Jan).

"Siapa sangka Jordan boleh menewaskan Australia?" Itulah sukan bola sepak," kata Stange.

"Ia adalah perlawanan pertama dalam pertandingan dan inilah sebabnya ia sukan paling hebat di dunia. Tiada sesiapa yang tahu apa yang akan berlaku esok.

"Kami berdepan dengan situasi mencabar - tetapi kami tidak kalah. Saya tidak gembira. Anda perlu menang perlawanan. Perlawanan seterusnya sangat penting," katanya, seperti yang dipetik oleh akhbar The National.

Stange melahirkan harapan agar pasukannya dapat mengikut jejak Iraq yang berjaya menjuarai Piala Asia pada 2007, meskipun negara itu bergelut dengan pelbagai masalah pada masa itu.

Bagaimanapun, jurulatih rakyat Jerman berusia 70 tahun itu jujur menilai peluang pasukannya dalam pertandingan tersebut, sambil mengakui bahawa pasukan-pasukan bola sepak Asia yang sudah terbukti hebat mungkin mempunyai kelebihan.

"Tiada sesiapa dalam pasukan kami yang akan berkata kami akan menang gelaran juara," katanya. "Kami bukanlah angkuh. Ada banyak pasukan yang ingin menjadi juara. Terdapat banyak pasukan yang pernah bertanding dalam Piala Dunia di Rusia seperti pasukan Jepun, Korea, Australia dan Iran - itu kelebihan mereka."

Bagaimanapun, Stange menarik perhatian bahawa dengan menunjukkan prestasi baik, ini akan berjaya memberi negara yang dilanda peperangan itu sebab untuk tersenyum. Malah, beliau menyamakan situasi mereka dengan Iraq yang menjadikan ketegangan di negara itu sebagai dorongan kuat untuk menjuarai Piala Asia pada 2007.

"Saya rasa Iraq sudah membuktikan apa yang boleh berlaku. Beberapa tahun lalu apabila mereka memenangi Piala Asia, tiada sesiapa pun yang menjangkakannya dan saya sendiri rasa mereka merupakan pemain muda (pemain Syria) dan mereka harus berjuang dan membanggakan negara mereka.

"Ada banyak tekanan positif... dari jutaan rakyat Syria yang menghadapi kemelut yang inginkan sesuatu untuk membuat mereka tersenyum. Kami di sini cuba yang terbaik untuk memberi mereka sebab untuk tersenyum," tambahnya seperti yang dipetik oleh Fox Sports Asia. 

- Agensi berita/AI/ai

Top