Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Piala AFF Suzuki 2018: M'sia seri 2-2 dengan Vietnam

Skuad Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Vietnam 2-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa malam (11 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Piala AFF Suzuki 2018: M'sia seri 2-2 dengan Vietnam

Malaysia dan Vietnam raih keputusan seri dalam aksi perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018. (Gambar: Vincent Thian/AP)

Diterbitkan : 12 Dec 2018 07:26AM Dikemas Kini : 12 Dec 2018 07:29AM

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Vietnam 2-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa malam (11 Dis).

Malaysia, yang turun dengan misi membalas dendam kekalahan 0-2 kepada juara edisi 2008 itu pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini, bermula garang dengan menunjukkan penguasaan bola yang baik.

Namun, dalam keghairahan melancarkan serangan ke atas kubu pasukan pelawat melalui gerakan direncanakan Muhammad Safawi Rasid yang mudah dipatahkan, pemain Vietnam seterusnya membuat serangan balas menghantar bola lambung di sebelah kiri kawasan gol pasukan negara yang gagal dikawal kemas Amirul Azhan Aznan.

Nguyen Huy Hung memanfaatkan peluang terhidang itu pada minit ke-22 selepas rembatannya berjaya menerjah gawang setelah penjaga gol, Mohd Farizal Marlias, tertewas untuk pasukan pelawat mendahului 1-0.

Selang tiga minit kemudian, seakan masih terkejut dengan jaringan pertama Vietnam, pemain Malaysia sekali lagi dihukum menerusi jaringan kedua skuad ‘Naga Emas’ itu hasil rembatan padu dari luar petak penalti oleh pemain tengah, Pham Duc Huy yang tepat menuju ke sebelah kiri gawang gol skuad Harimau Malaya.

Stadium keramat itu bergema dengan sorakan penyokong setia Harimau Malaya apabila pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad, membuka tirai jaringan skuad kebangsaan menerusi satu tandukan menarik hasil tendangan percuma Mohamed Syamer Kutty Abba pada minit ke-37 untuk kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-60, Malaysia memperoleh tendangan percuma selepas Muhammad Safawi dijatuhkan pemain pertahanan Vietnam.

Muhammad Safawi membuktikan beliau layak dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai Malaysia musim 2018, apabila tendangan percuma diambilnya melencong menerjah gawang Vietnam untuk menewaskan penjaga gol, Dang Van Lam, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Malaysia selaku juara edisi 2010, berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Hanoi untuk aksi final kedua pada 15 Disember ini.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan