Images
  • pencak silat seni main
    Para pesilat Singapura dengan pingat-pingat yang diraih mereka. (Gambar: PERSISI) 

Pesilat S'pura cemerlang: Menang 6 pingat - termasuk 3 emas - di hari pertama Kejohanan Pencak Silat Sedunia

SINGAPURA: Para pesilat Singapura membuka tirai Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 dengan prestasi cemerlang siang tadi (13 Dis).

Mereka berjaya merangkul 3 pingat emas, 2 perak dan 1 gangsa bagi Singapura dalam acara Seni, dalam kejohanan yang berlangsung di OCBC Arena, dengan negara ini menjadi penganjurnya.

Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah kejohanan dunia itu adalah pada tahun 2004 di mana ia menjulang 4 emas, 4 perak dan 9 gangsa.

Pada hari pertama kejohanan hari ini, Singapura nampaknya mampu mengatasi rekod tersebut apabila tiga emas sudahpun berada dalam genggaman.

Emas pertama disumbang Nurzuhairah Mohd Yazid dalam kategori Tunggal Puteri.


Nurzuhairah Mohd Yazid menjuarai kategori Tunggal Puteri dengan mendapat 471 mata. (Gambar: PERSISI)

Pesilat berusia 20 tahun itu mencatat 471 mata, mengalahkan pesaing terdekatnya dari Filipina yang meraih 463 mata.

"Saya sudah meletakkan sepenuh-penuhnya untuk persembahan saya ini dan saya pasti keluarga saya bangga dengan saya," kongsi jaguh yang baru berusia 20 tahun itu.

Muhammad Iqbal Abdul Rahman pula berjaya menang kategori Tunggal Putera setelah meraih 467 mata, sekaligus menundukkan lawan dari Thailand dan Indonesia.

Kemenangan demikian begitu manis bagi Iqbal kerana kini bergelar 'Juara Dunia' selepas 5 kali mencuba.

Muhammad Iqbal Abdul Rahman akhirnya berjaya menjulang takhta kategori Tunggal Putera selepas beberapa tahun mencuba. (Gambar: PERSISI)

"Iqbal rasa sangat berpuas hati dengan saya punya persembahan tadi. Saya rasa itu yang terbaik yang telah saya berikan (berbanding) apa-apa kejuaraan yang pernah saya tampil," kata beliau dengan penuh keceriaan.

Dalam pada itu, keserasian gandingan Nur Allyana Ismail dan Nurhanisah Shahrudin begitu terserlah dalam acara Ganda Puteri.

Teknik serangan dan mempertahankan diri serta gerakan bersenjata yang dipersembahkan berjaya memikat hati para juri demi membolehkan pasangan Singapura itu merebut pingat emas dengan Indonesia dan Malaysia hanya mampu menduduki tempat kedua dan ketiga.

Nur Allyana Ismail dan Nurhanisah Shahrudin beraksi dalam kategori Ganda Puteri.  (Gambar: PERSISI)

Singapura bagaimanapun terlepas dua pingat emas hari ini.

Gandingan Nurzuhairah, Nurul Syafiqah dan Siti Nazurah bagi kategori Regu Puteri terpaksa berpuas hati dengan perak di belakang juara Indonesia.

"Saya berasa yang saya ini lebih semangat. Saya lebih betul-betul dahaga untuk mendapatkan pingat emas sebab suasananya lebih meriah sebab saya tahu yang semua Team Singapore dan orang Singapura datang untuk tengok kita," kongsi Nurzuhairah yang memenangi pingatnya yang kedua hari ini.

Sebutir lagi perak disumbangkan Nur Hakim Norshamsuddin dan Syafiq Syazry Mohd Abdul Majid dalam acara Ganda Putera.

Nur Hakim Norshamsuddin dan Syafiq Syazry Mohd Abdul Majid menunjukkan teknik serangan dan mempertahankan diri yang cekap dan rapi dalam kategori Ganda Putera.  (Gambar: BERITAmediacorp)

Gangsa tunggal untuk Singapura hari ini pula diraih menerusi pasukan Regu Putera, di belakang Filipina dan Thailand.

Kejohanan empat hari itu yang menampilkan lebih 300 pendekar dan srikandi dari 40 negara, berlangsung sehingga Ahad ini.

Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 itu dirasmikan oleh tetamu kehormat Presiden Halimah Yacob pada sebelah malam (13 Dis).

Perasmian dimulakan dengan sesi melafaz ikrar atlit oleh pesilat negara Sheik Farhan Sheik Alauddin dan kemudian diserikan lagi dengan persembahan tarian alu-aluan.  

- BERITAmediacorp/na

Top