Pesilat Indonesia 'satukan' Jokowi, Prabowo saat raih kemenangan dalam Sukan Asia
Menjelang Pilihan Raya Presiden Indonesia tahun depan, Presiden Joko Widodo 'disatukan' dengan calon lawannya, Encik Prabowo Subianto.
JAKARTA: Menjelang Pilihan Raya Presiden Indonesia tahun depan, Presiden Joko Widodo 'disatukan' dengan calon lawannya, Encik Prabowo Subianto.
Itulah detik menarik yang disaksikan ramai sebaik sahaja pesilat Indonesia meraih kejuaraan dalam Sukan Asia semalam (29 Ogos). Bagi meraikan kemenangan itu, Presiden Jokowi kelihatan berpelukan dengan Encik Prabowo.
Hanifan Yadani Kusuma memungut pingat emas sukan silat dalam pusingan final lelaki bagi Kelas C (55 - 60 kilogram). Selepas disahkan menang, beliau menghampiri Presiden Jokowi di tempat duduk VVIP, lapor The Jakarta Post.
Memakai jaket berwarna merah, Presiden Jokowi duduk di samping Pengerusi Parti Gerindra Prabowo, yang menghadiri acara itu selaku pengerusi Persatuan Pencak Silat Indonesia (IPSI).
Hanifan mendekati Presiden Jokowi lalu memeluknya sebelum melakukan perkara yang sama kepada Encik Prabowo. Sejurus selepas itu, atlit tersebut menghulurkan tangannya kepada Presiden Jokowi lalu menariknya untuk berpelukan bersama-sama dengan Encik Prabowo.
Menurut The Jakarta Post, detik itu segera mencuri perhatian ramai yang kemudian memberikan tepukan gemuruh. Naib Presiden Jusuf Kalla dan Menteri Penyelaras Pembangunan dan Budaya, Puan Maharani antara mereka yang hadir di acara itu dan turut memberi tepukan.
The Jakarta Post melaporkan Presiden Jokowi kemudian memuat naik gambar detik tersebut di laman Instagramnya dan mengucapkan tahniah kepada Hanifan dan 14 atlit pencak silat lain yang memenangi pingat emas untuk Indonesia.
"Kami bertiga - Hanifan, saya dan Pak Prabowo - memeluk satu sama lain di bawah bendera Merah dan Putih," tulisnya merujuk kepada bendera negara Indonesia yang dipegang Hanifan semasa meraih kemenangannya.
Presiden Jokowi dan Encik Prabowo, yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2014, dijangka bertarung sekali lagi tahun depan. Presiden Jokowi bakal berganding dengan pemimpin Majlis Ugama Islam Ma'ruf Amin sementara Prabowo akan ikut bertanding bersama mantan timbalan gabenor Jakarta Sandiaga Uno.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.