Images
  • cg
    Perlawanan antara McGregor dengan Khabib. (Gambar: thenotoriousmma/Instagram)

Pertarungan semula Khabib dengan Conor: Dana White jelaskan satu perkara yang perlu berlaku

AMERIKA SYARIKAT: Presiden UFC Dana White menekankan bahawa satu perkara mesti berlaku sebelum pertarungan semula antara Conor McGregor dengan Khabib Nurmagomedov boleh diadakan.

Pertarungan pertama antara kedua-dua bintang itu berakhir dengan penuh kontroversi apabila satu pergaduhan tercetus antara kedua-dua pihak setelah Khabib menewaskan Conor melalui 'submission' pada pusingan keempat.

Akibat pergaduhan itu, ia sudah mencetuskan permintaan tinggi agar Khabib dan Conor bertarung semula. Malah seramai 2.4 juta orang menyaksikan perlawanan itu, sekaligus menjadikannya pertarungan seni bela diri yang disaksikan jumlah penonton paling ramai sejauh ini.

Bagaimanapun Presiden UFC itu mendedahkan bahawa mereka mesti menunggu sehinggalah perbicaraan Suruhanjaya Olahraga Nevada pada Disember selesai, sebelum pihaknya boleh menimbangkan sama ada untuk mengadakan pertarungan semula.

"Saya tidak tahu jika pertarungan semula akan berlaku kerana kami perlu melihat keputusan Suruhanjaya Olahraga Nevada pada Disember apabila perbicaraan itu berlaku," menurut Encik White kepada ESPN.

"Oleh itu saya tidak memikirkan langsung tentangnya, saya cuma memikirkan kemungkinan-kemungkinan untuk masa depan. Tetapi buat masa ini tidak perlu, sehinggalah kami tahu apa yang akan berlaku di Nevada."

Sekiranya pertarungan semula diadakan, terdapat pemintaan untuk kawalan lebih ketat terhadap kelakuan para petarung dan pasukan-pasukan mereka. Ini bagi mengelak insiden yang sama berlaku sekali lagi.

Bagaimanapun, Encik White berkata bahawa beliau tidak akan menapis sebarang petarung daripada menyatakan apa yang ingin mereka luahkan.

"Falsafah saya mengenai perkara ini adalah, ia sesuatu pertarungan," beliau menambah. "Sejak dahulu lagi individu-individu sudah mengatakan kenyataan-kenyataan yang buruk terhadap satu sama lain dalam perlawanan.

Ini bukanlah perniagaan yang sopan, ini perniagaan pertarungan. Ini bukan pertama kali kenyataan-kenyataan buruk diluahkan kepada seseorang dan ia bukan yang terakhir." 

- Agensi berita/NA/tq

Top