Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

PERSES lantik Salleh Nanang jurulatih nasional, pimpin pasukan negara bagi Sukan SEA Manila

Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) melantik bekas pemain negara, Encik Salleh Nanang, selaku jurulatih nasional untuk Sukan SEA Manila pada Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PERSES lantik Salleh Nanang jurulatih nasional, pimpin pasukan negara bagi Sukan SEA Manila

Encik Salleh Nanang menerima watikah pelantikan sebagai jurulatih pasukan sepak takraw nasional Singapura daripada Presiden PERSES Abdul Halim Kader. (Gambar: PERSES)

Diterbitkan : 24 Aug 2019 10:57AM Dikemas Kini : 24 Aug 2019 11:00AM

SINGAPURA: Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) melantik bekas pemain negara, Encik Salleh Nanang, selaku jurulatih nasional untuk Sukan SEA Manila pada Disember ini.

Encik Salleh menggantikan jurulatih kebangsaan PERSES Fadli Osman yang sudah menerajui pasukan itu selama lima tahun, dengan tugas terakhirnya dalam Sukan Asia Palembang Indonesia 2018 menyaksikan Singapura merangkul dua pingat gangsa.

Dengan pelantikan ini, Encik Salleh bakal menggalas serta meneruskan tugas-tugas yang terdahulu dijalankan oleh Encik Fadli. Beliau dipilih untuk mengambil alih jawatan tersebut sekali gus memimpin pasukan Singapura ke Sukan SEA Manila 2019 di Filipina berdasarkan pengalamannya yang pernah melatih pasukan negara bagi temasya sukan di Busan, Korea, pada 2002 dan bagi pertandingan sama di Filipina pada 2005.

Menurut Presiden PERSES Abdul Halim Kader, beliau sangat yakin Encik Salleh boleh memimpin pemain-pemain Singapura ke Sukan SEA Manila tahun ini. Mentelah lagi, dengan berbekalkan pengalaman yang diperolehi Encik Salleh sebagai pemain penyerang pasukan Singapura sejak Sukan SEA 1981 sehingga 1987, ia satu aspirasi terbaik bagi pasukan negara mengecap lebih banyak kejayaan.

Sementara itu, mengulas tentang pelantikannya, Encik Salleh berkata: "Saya percaya pemain-pemain Singapura yang ada sekarang dapat menunjukkan permainan mereka yang terbaik jika mereka diberikan panduan yang mereka kehendaki. Saya tidak akan menghampakan harapan Majlis PERSES untuk melihat kejayaan pasukan Singapura."

Beliau turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada Encik Abdul Halim atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memimpin pasukan takraw negara.

Dalam perkembangan terbaru, pasukan sepak takraw nasional Singapura seramai 12 pemain sudahpun berlepas ke Bangkok, Thailand, pada pagi hari Jumaat (23 Ogos) untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Pasukan sepak takraw Singapura bersama pengurusnya, Encik Zuraimi Abdul Basheer (berbaju merah) bersama Presiden PERSES, Encik Abdul Halim Kader (paling kanan) d Lapangan Terbang Changi untuk berangkat ke Bangkok, Thailand.

Pasukan sepak takraw Singapura bersama pengurusnya, Encik Zuraimi Abdul Basheer (berbaju merah) bersama Presiden PERSES, Encik Abdul Halim Kader (paling kanan) d Lapangan Terbang Changi untuk berangkat ke Bangkok, Thailand.

Sebanyak 30 negara dari merata dunia bertanding dalam kejohanan itu termasuk Malaysia ,Indonesia, Laos, Myammar, Kemboja, Jepun, India, Pakistan, Sri Lanka, Korea, Australia, Nepal, Iran, Iraq, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Brazil, Kanada dan China.

Antara pasukan sepak takraw yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan tersebut adalah Iraq dan New Zealand. Iraq yang sudah menonjolkan prestasi mengagumkan di Kejohanan Sepak Takraw Pantai Qindao di Shantong, China, pada Julai lalu dijangka menampilkan corak permainan luar biasa.

Ini merupakan kejohanan sepak takraw pertama yang disertai Singapura selepas Majlis Olimpik Kebangaan Singapura (SNOC) menamakan acara regu dalam Sukan SEA Manila.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan