Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Persekutuan sepak takraw S'pura bentuk pasukan kebangsaan wanita pertama

Persekutuan sepak takraw S'pura bentuk pasukan kebangsaan wanita pertama.

Anggaran Waktu Membaca:
Persekutuan sepak takraw S'pura bentuk pasukan kebangsaan wanita pertama

Pasukan sepak takraw kebangsaan wanita pertama. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Diterbitkan : 29 Mar 2021 09:39AM Dikemas Kini : 29 Mar 2021 09:45AM

SINGAPURA: Pada usia 11 tahun, Nur Ezzaty Putri Rohaizat akan menghabiskan masa berjam-jam selepas waktu sekolah untuk menyaksikan jiran tetangganya bermain sepak takraw di estet perumahannya di Telok Blangah sebelum pulang ke rumah untuk berlatih teknik menendang yang dipelajari menerusi video-video di laman YouTube.

Kini, pelajar Sekolah Menengah Queenstown yang sudah berusia 15 tahun itu ialah pemain termuda Singapura dalam pasukan sepak takraw kebangsaan wanita pertama, yang akan bertanding dalam perlawanan di acara Sukan Asia Tenggara (SEA) di Phnom Penh, Kemboja pada 2023.

Sepak takraw hanya membenarkan para pemainnya untuk menggunakan kaki, lutut dan kepala untuk menyentuh bola raga.

Setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain, iaitu seorang pemain bahagian belakang gelanggang atau tekong dan dua pemain di depan yang dipanggil apit kiri dan apit kanan.

Ketua jurulatih pasukan Padzli Othman, 55 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa penubuhan pasukan wanita itu "sepatutnya sudah lama dilakukan".

"Selama bertahun-tahun, saya melihat kaum wanita bermain di gelanggang di estet-estet perumahan tetapi mereka tidak pernah berpeluang untuk bermain dalam liga. Ini adalah peluang yang baik untuk mereka," kata bekas pemain sepak takraw negara itu.

Nur Ezzaty semasa menjalani latihan sepak takraw. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Nur Ezzaty semasa menjalani latihan sepak takraw. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Mohd Nasri Haron, berkata pembentukan pasukan sepak takraw wanita kebangsaan itu adalah inisiatif kepimpinan baru Perses, yang mengambil perhatian terdapat potensi bagi para pemain wanita di sini.

Beliau menambah Perses berharap untuk menjadi sukan sepak takraw lebih inklusif.

Meksipun perancangan untuk menubuhkan pasukan itu dibuat dua tahun lalu, persekutuan itu hanya dapat memulakan uji bakat selepas Pemerintah melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 tahun lalu.

Uji bakat bagi pasukan dalam bulan Disember menerima lebih 50 permohonan namun hanya sembilan pemain dipilih. Mereka berusia antara 15 dengan 23 tahun.

Encik Nasri berkata Perses mengadakan perlawanan pada Ahad (28 Mac) untuk mencungkil lebih ramai bakat untuk pasukan kebangsaan wanita.

Pasukan itu merancang untuk membuat kemunculan pertamanya dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Diraja di Bangkok pada bulan September tahun ini sebelum bertanding dalam kategori regu di acara sukan SEA dalam masa dua tahun.

Kategori regu dimainkan oleh tiga pemain dalam setiap pasukan.

Semasa acara sukan SEA 2019 di Kuala Lumpur, Thailand merangkul pingat emas bagi kategori regu wanita dan Vietnam memenangi piala perak manakala Filipina dan Malaysia berkongsi piala gangsa.

BUKAN SUKAN LELAKI SAHAJA

Ezzaty, yang bermain sebagai penyerang, yang sasarannya adalah untuk memastikan bola jatuh di gelanggang pasukan lawan, berkata beliau terkejut apabila diterima masuk ke dalam pasukan itu, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak pernah menerima sebarang latihan formal sepak takraw.

Nur Ezzaty Putri Rohaizat. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Nur Ezzaty Putri Rohaizat. (Gambar: Eileen Chew/TODAY)

Namun, sebagai pemain paling tinggi pasukannya - iaitu 1.68 meter - Ezzaty berkata ketinggiannya membolehkan beliau melompat tinggi dan melakukan tendangan ke gelanggang lawan.

Beliau berseloroh: "Ia juga cabaran terbesar bagi saya kerana saya takut pada ketinggian."

Seperti Ezzaty, Nurul Ilyana Mohd Sokih juga tidak menyangka beliau dipilih menyertai pasukan kebangsaan.

Penuntut ITE berusia 18 tahun itu masih ingat perasaan takut yang menguasainya semasa bermain sepak takraw dengan rakan-rakan lelakinya di gelanggang berdekatan estet perumahannya di Marsiling dalam tiga tahun lalu.

Ilyana, yang bermain sebagai tekong berkata: "Saya selalu diejek semasa bermain dengan rakan-rakan di estet perumahan saya. Saya rasa seperti, kadangkala, mereka memandang rendah terhadap saya kerana mereka rasa hanya lelaki boleh bermain sukan ini."

Sekalipun demikian, beliau bertekad untuk membuktikan diri kepada mereka. Malah beliau berlatih lima kali seminggu untuk mahir teknik tekong yang dipanggil "tendangan kuda", di mana seorang pemain menendang bola melepasi paras bahu atau kepalanya.

"Sebagai pemain wanita, salah satu kelebihan bermain sebagai tekong adalah kita dapat melakukan tendangan kuda kerana kami lebih fleksibel sedikit," kata beliau.

Nur Haziqah Rosli, 17 tahun, yang bermain sebagai tekong dan apit, bersetuju bahawa pemain wanita lebih tangkas dan boleh melakukan lebih banyak teknik tendangan akrobatik.

Haziqah, anak keempat daripada enam beradik, mempunyai tiga abang yang merupakan pemain kebangsaan dalam sukan sepak takraw sebelum mereka berhenti. Bapanya juga bekas pengadil sepak takraw.

Beliau berkata pada masa terluang, beliau akan menyaksikan perlawanan antara pasukan wanita di negara-negara lain untuk mempelajari teknik-teknik berbeza.

Bapanya, yang pada mulanya terkejut bahawa beliau dipilih untuk menyertai pasukan wanita kebangsaan, memberikan sokongan dengan melatihnya sekali seminggu.

Setelah bermain sukan itu sejak berusia 10 tahun, Haziqah berkata matlamatnya adalah untuk menjadi seorang pemain versatil yang boleh bermain dalam kesemua tiga peranan dalam pasukan.

"Bapa saya sentiasa memberitahu saya jangan berputus asa. Beliau mahu saya pergi jauh dan mewakili pasukan kebangsaan," katanya.

"Oleh sebab itu saya berlatih bersungguh-sungguh sekarang kerana ia impian saya juga."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan