Images
  • persedar
    PERSEDAR menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baru bagi memastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan. (Gambar: Astro Awani)

Persatuan Sepak Takraw Perak juga umum tarik diri dari PSM

IPOH: Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR) menjadi anggota terbaru yang menarik diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selepas persatuan kebangsaan itu disingkirkan daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Demikian dilaporkan agensi media Astro Awani semalam (22 Mei).

Presiden PERSEDAR Abdul Puhat Mat Nayan berkata keputusan yang berkuat kuasa serta merta itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk PERSEDAR semalam bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan sepaktakraw negara.

Pada masa yang sama, beliau berkata PERSEDAR menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baru bagi memastikan kelangsungan sukan sepaktakraw dapat terus maju ke hadapan.

“PERSEDAR mengambil maklum dan memandang serius akan keputusan yang telah dibuat oleh ASTAF berhubung penyingkiran PSM sebagai ahli gabungannya pada 20 Mei 2021," kata Encik Abdul Puhat.

“Penyingkiran ini secara tidak langsung akan menjejaskan sukan sepak takraw negara,” tambahnya dalam kenyataannya.

Sebelum ini, empat persatuan iaitu Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSTJ), Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) mengumumkan menarik diri daripada PSM selepas ASTAF menggantung sementara PSM daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan berkuat kuasa 28 April lepas.

Menurut Encik Abdul Puhat, PERSEDAR melahirkan penghargaan kepada PSM serta kepimpinannya atas usaha dan bakti yang ditaburkan kepada sukan sepak takraw negara sejak penubuhannya.

- Agensi Berita/Ay

Top