Images
  • f1 grand prix sg
    (Gambar: AFP)

Perlumbaan Grand Prix S'pura sekali lagi dibatalkan kerana pandemik COVID-19

SINGAPURA: Perlumbaan Grand Prix Formula 1 Singapura 2021 dibatalkan atas keprihatinan tentang keselamatan dan cabaran logistik disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Mengumumkan pembatalannya pada Jumaat malam (4 Jun), penganjur perlumbaan Singapore GP menyatakan bahawa tiket-tiket perlumbaan F1 tahun ini belum lagi dijual.

Mereka yang sudah membeli tiket bagi perlumbaan tahun lalu, yang ditangguh ke tahun ini, akan dikembalikan wang sepenuhnya.

Ini adalah kali kedua perlumbaan Grand Prix Singapura dibatalkan.

Pihak penganjur berkata ia sedang berunding dengan Pemerintah dan Formula 1 untuk menganjurkan Perlumbaan Dunia Formula 1 pada masa hadapan.

"Kami sedang berusaha mencapai hasil yang saling menguntungkan bagi kesemua pihak dan akan mengumumkan butirannya pada masa yang sesuai," menurutnya dalam satu kenyataan media.

Timbalan pengerusi Singapore GP, Encik Colin Syn berkata: "Kami faham bahawa para peminat mengalu-alukan satu lagi edisi Perlumbaan Grand Prix F1 Singapura.

"Untuk membatalkan acara itu bagi tahun yang kedua adalah satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat, namun ia adalah keputusan yang penting di tengah-tengah sekatan terhadap acara-acara yang diadakan secara langsung di Singapura."

Beliau menambah bahawa pihak penganjur tidak akan dapat menawarkan pengalaman penuh yang dijangkakan oleh para peminat daripada menyaksikan perlumbaan tahunan pada waktu malam.

Acara selama tiga hari itu lazimnya diiringi dengan persembahan oleh artis-artis luar negara.

Jadual perlumbaan tahun ini menampilkan 23 perlumbaan dan perlumbaan di Singapura sepatutnya diadakan antara 1 hingga 3 Oktober selepas perlumbaan di Rusia dan sebelum berlangsung di Jepun.

Singapore GP menyatakan ia semakin mencabar untuk mengadakan "acara rumit pelbagai segi" bagi puluhan ribu penonton disebabkan oleh ketidaktentuan pandemik.

"Pada akhirnya, kita harus bertanggungjawab, berwaspada dan berhemah kerana keselamatan adalah keutamaan kami," kata Encik Syn.

Pengarah sukan di Lembaga Pelancongan Singapura, Cik Ong Ling Lee berkata agensi itu memahami keputusan untuk membatalkan acara perlumbaan itu.

"Disebabkan oleh ketidaktentuan situasi COVID-19 di seluruh dunia, keputusan ini mengutamakan kesihatan dan keselamatan kesemua peserta, peminat dan orang awam... Kami sedang bekerja rapat dengan Singapore GP, Formula 1 dan agensi-agensi pemerintah lain bagi menentukan masa hadapan perlumbaan itu," katanya. 

- TODAY/HA/ha

Top