Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Perbezaan ganjaran tunai bukan cerminan cara Pemerintah hargai atlit para

Usaha-usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan ganjaran tunai bagi atlit para di temasya sukan utama.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2021 05:41PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 10:20PM

SINGAPURA: Usaha-usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan ganjaran tunai bagi atlit para di temasya sukan utama.

Demikian menurut Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong hari ini (5 Okt) sedang beliau mengusulkan agar pencapaian atlit Olimpik dan Paralimpik Singapura diraikan.

Berucap di Parlimen, Encik Tong berkata beberapa Anggota Parlimen (AP) bertanya sama ada lebih banyak boleh dilakukan untuk mengurangkan perbezaan ganjaran tunai antara atlit di bawah Program Anugerah Sukan Utama (MAP) dengan Anugerah Pencapaian Atlit (AAA) bagi atlit para.

Encik Tong menjelaskan bahawa MAP dan AAA adalah skim anugerah privet yang dikendalikan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC).

Sejak ia diperkenalkan, dana bagi kedua-dua anugerah itu dibiayai sepenuhnya oleh penaja privet, kata Encik Tong.

Perbezaan dalam jumlah hadiah tunai itu bagaimanapun tidak mencerminkan sejauh mana Pemerintah menghargai atlit biasa dan juga atlit para, tambah beliau.

"Jumlah yang ditawarkan di bawah kedua-dua skim itu ditambah dan ditentukan oleh SNOC dan SNPC sendiri, di samping para penaja masing-masing. Secara berasingan, anugerah di bawah setiap skim adalah berdasarkan standard, saiz dan bidang pertandingan bagi setiap acara sukan besar itu," jelas Encik Tong.

"Perbezaan kuantum wang tunai itu tidak mencerminkan sejauh mana Pemerintah menghargai atlit para berbanding atlit biasa. Pada pandangan kami, mereka semua adalah atlit Team Singapore dan setiap atlit, baik atlit biasa mahupun atlit para, mempunyai ciri-ciri ternilai, yang kami hargai dan iktiraf."

Beliau mendedahkan bahawa SNPC sedang berusaha untuk menambah anugerah wang tunai bagi atlit para dalam temasya sukan utama dan sudahpun berbincang dengan "beberapa entiti" untuk melakukan demikian.

"Saya juga sudah beberapa kali membincangkan usaha-usaha ini, dengan presiden SNPC, Prof Teo-Koh (Sock Miang) dan akan terus menyokong usaha pendampingan mereka dengan entiti-entiti korporat serta penyumbang dana privet untuk mencapai objektif tersebut. SNPC akan mengumumkan hasil mereka apabila tiba masanya," kata Encik Tong.

Selain melihat kepada ganjaran tunai bagi atlit yang meraih pingat, Encik Tong juga menekankan pentingnya untuk "meningkatkan" keseluruhan ekosistem sukan para.

Ini termasuk mengurangkan hambatan untuk atlit para menyertai sukan, mengadakan lebih banyak kemudahan dan program, mempertingkat rangka kerja latihan serta menyepadukan sukan para dengan persatuan-persatuan utama sukan kebangsaan.

"Lebih ramai atlit yang akan meraih manfaat daripadanya dan lebih banyak laluan untuk mengecap kejayaan dan perwakilan elit akan dibuka," kata Encik Tong.

"Jadi Encik Speaker, kami akan terus bekerja keras, untuk mewujudkan masyarakat inklusif menerusi sukan, di mana individu-individu dengan pelbagai keupayaan boleh bersatu untuk melalui pengalaman, bermain, bersosial dan jika boleh, untuk cemerlang dalam sukan peringkat tinggi serta menerusinya, untuk membantu Singapura dan rakyat Singapura membangunkan hubungan sosial yang mendalam."

Bercakap mengenai usul tersebut, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Mark Chay, yang juga jurulatih perenang Paralimpik Yip Pin Xiu, mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan juga sejumlah agensi serta pertubuhan atas "sokongan, nasihat dan tindakan tidak ternilai mereka".

Beliau mengakui bahawa perbincangan mengenai sokongan untuk atlit para dan perbezaan antara sukan para dengan sukan lain secara amnya timbul setiap empat tahun.

"Mungkin kali ini, kita boleh bertindak bersama menyusuli perbincangan dan berusaha memperbaiki sistem sedia ada, yang memerlukan lebih banyak bantuan...Atas semangat kesaksamaan, saya menggalak MCCY untuk bekerjasama dengan SDSC (Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura) dan SNPC untuk membangunkan ekosistem dan program-program untuk mengupaya PWD (Orang Kurang Upaya) untuk menyertai bidang sukan," kata Encik Chay.

"Memandangkan ekosistem sukan sangat bergantung kepada derma, tajaan dan sukarelawan di semua peringkat, saya menggalak MCCY dan SportSG untuk mendampingi syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan pemerintah serta MNC untuk mengambil persatuan-persatuan sukan kebangsaan kita dan menyokong kegiatan-kegiatan mereka dari segi kewangan."

AP Denise Phua (PAP-Jalan Besar) juga menggesa Pemerintah supaya memudahkan proses untuk "mereka semula, menyemak semula dan mencari sumber-sumber" bukan hanya dalam sistem sukan-sukan para berprestasi tinggi tetapi juga memperluaskan kumpulan bakat menerusi lebih banyak penyertaan dalam bidang sukan.

"Sedang Singapura berusaha untuk menjadi lebih inklusif dan sedang rakyat Singapura mahukan lebih banyak kesaksamaan...antara bakat-bakat sukan dari pelbagai keupayaan, sudah tiba masanya untuk bertindak mengubah sukan. Jangan tunggu sehingga Sukan Paris 2024, yang tinggal beberapa tahun sahaja lagi, untuk menghidupkan semula perbicangan dan perbahasan ini," kata beliau.

"SEMANGAT WAJA"

Singapura menghantar 23 atlit dalam 12 bidang sukan ke temasya Sukan Olimpik dan juga 10 atlit dalam enam bidang sukan ke Paralimpik.

"Kami mengucapkan tahniah kepada anda atas prestasi luar biasa anda, atas semangat waja anda di peringkat dunia. Anda mencurahkan segala-galanya di Tokyo," kata Encik Tong tentang prestasi atlit tersebut, yang sebahagiannya hadir di Parlimen.

"Pencapaian anda membawa kegembiraan dan keceriaan kepada negara, membangkitkan semangat kami di tengah-tengah salah satu tempoh paling mencabar dalam sejarah Singapura."

Beliau berkata usaha-usaha atlit itu juga memberi inspirasi dan menyatupadukan rakyat Singapura dari segenap lapisan masyarakat sedang masyarakat menyokong mereka dalam perjuangan di Olimpik dan Paralimpik.

"Seperti individu-individu hebat sebelum anda, semua lelaki dan wanita ini, atlit-atlit kami, sudah membuat banyak pengorbanan peribadi untuk membawa harapan negara, mengibarkan bendera negara dan aspirasi kita ke taraf tertinggi sukan," kata Encik Tong.

"Lelaki dan wanita ini jugalah yang sudah dan akan terus menyuntik inspirasi ke dalam generasi atlit selepas mereka, untuk bangkit, berdiri atas kaki sendiri, mencapai cita-cita tinggi dan mengharumkan lagi nama negara."

Meskipun Singapura tidak meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik, Yip Pin Xiu memenangi dua pingat emas di Sukan Paralimpik.

Ini menunjukkan "kegigihan berterusan" Yip," kata Encik Tong.

"Ciri-ciri ternilai anda untuk memberi inspirasi kepada rakyat Singapura, kecekalan pencapaian anda dalam sukan di peringkat paling tinggi, sumbangan anda dalam banyak bidang selain sukan dan keperibadian anda yang pendiam dan rendah hati, menyelindungkan keyakinan begitu mendalam anda untuk menjadi seseorang yang membawa perubahan positif," tambah Encik Tong.

"Setiap satu ciri itu sememangnya sudah luar biasa...tetapi, apabila digabungkan - anda dan pencapaian anda sudah menyatukan kami rakyat Singapura dan sangat memberi inspirasi kepada kami."

Encik Tong mengumumkan bahawa satu anugerah baru, iaitu Anugerah Presiden bagi Pencapaian yang Memberi Inspirasi akan diwujudkan, dengan Yip sebagai penerima pertama.

Beliau berkata anugerah itu akan disampaikan Presiden kepada penerima "yang layak" yang memenuhi "kriteria tertinggi kelayakan".

Ia akan diberikan kepada rakyat Singapura dengan pencapaian yang wajar dan mungkin tidak diberikan setiap tahun, tambah Encik Tong.

"Pin Xiu menunjukkan ciri-ciri luar biasa ini. Beliau berdepan cabaran demi cabaran dan menanganinya. Beliau sememangnya inspirasi kepada rakyat Singapura dan wajarlah bagi beliau menjadi penerima pertama anugerah baru itu," kata beliau.

"Saya pasti beliau akan membuka laluan untuk lebih ramai orang mencontohinya." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan