Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Penyokong gesa FIFA gugurkan pelan anjur Piala Dunia dua tahun sekali

Kumpulan-kumpulan peminat dan penyokong bola sepak seantero dunia pada Selasa (7 Sep) membantah rancangan untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyokong gesa FIFA gugurkan pelan anjur Piala Dunia dua tahun sekali

Gambar fail trofi Piala Dunia FIFA dipetik pada 15 Jul 2018 (Gambar: REUTERS/Kai Pfaffenbach)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 10:07PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 10:11PM

PARIS: Kumpulan-kumpulan peminat dan penyokong bola sepak seantero dunia pada Selasa (7 Sep) membantah rancangan untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun.

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang kini adalah pengarah pembangunan di Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mencadangkan agar pertandingan berprestij itu dianjurkan secara dwitahunan.

"Sebilangan besar penyokong membantah penganjuran Piala Dunia setiap dua tahun - dan jika FIFA benar-benar peduli untuk mendampingi kita mengenai perkara ini, mereka pasti akan tahu hal ini," tegas 58 pertubuhan penyokong pasukan kebangsaan yang turut merangkumi enam konfederasi sukan itu dalam satu kenyataan bersama.

"Mengapa meninggalkan tradisi hampir 100 tahun lamanya dengan sesuka hati dan tanpa bukti bahawa ia akan memperbaiki sukan global ini?"

"Sebaliknya, langkah seperti itu hanya akan merosakkan keseimbangan yang sudahpun rapuh antara perlawanan dan kalendar perlawanan tempatan, pertandingan peringkat domestik, benua, dan antarabangsa," tambah mereka.

Pada Isnin, Presiden UEFA Aleksander Ceferin memberi amaran bahawa rancangan untuk mengadakan Piala Dunia setiap dua tahun akan "memalapkan" "permata" bola sepak dunia.

"Lantaran itu, kami menyeru FIFA dan persatuan-persatuan bola sepak kebangsaan supaya menggugurkan cadangan mereka untuk mengadakannya secara dwitahunan dan mengambil kira suara peminat dan penyokong dalam setiap keputusan yang boleh menjejas masa depan sukan yang kami biayai dan jadikannya sebagai tontonan peringkat global," seru kumpulan-kumpulan peminat dan penyokong itu.

"Khususnya, ia akan merendahkan nilai dan mencemari prestif pertandingan-pertandingan yang dikendalikan oleh pelbagai konfederasi -pertandingan yang sama pentingnya buat para peminat yang menonton seperti Piala Dunia itu sendiri.

"Kami menggemari Piala Dunia semata-mata kerana ia adalah pertandingan yang luar biasa. Sebilangan besar daripada kami tidak mempunyai masa, wang, atau kemampuan untuk melakukan perjalanan jauh setiap 24 bulan untuk menyaksikan pasukan kami bermain dalam pertandingan yang direndahkan nilainya dan stadium-stadium yang separuh kosong."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan