Images
  • sala portrait
    Potret Emiliano Sala di padang bola (Gambar: AFP)

Pengurus penerbangan yang ragut nyawa bintang bola sepak Sala, dipenjara 18 bulan

CARDIFF: Ahli perniagaan yang menguruskan penerbangan pada 2019 yang terhenpas dan mengorbankan bintang bola sepak Argentina, Emiliano Sala dalam nahas di Selat Inggeris, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada Jumaat (12 Nov).

David Henderson, 67, disabitkan kesalahan oleh juri di Cardiff kerana membahayakan keselamatan pesawat berhubung kematian pemain penyerang berusia 28 tahun itu.

Dia juga akan menjalani hukuman penjara tiga bulan secara serentak kerana cuba melepaskan penumpang tanpa kebenaran atau kelulusan yang sah.

Henderson mengaku bersalah atas dakwaan itu, yang biasanya melibatkan pengendali perniagaan yang gagal memperoleh lesen yang sewajarnya untuk menyewa pesawat komersil.

Pesawat enjin tunggal Piper Malibu yang membawa Sala terhempas ke dalam laut pada 21 Jan 2019, membunuhnya dan juruterbang David Ibbotson, 59.

Sala ketika itu dalam perjalanan ke Cardiff City, yang berada dalam Liga Perdana England, untuk rekod perpindahan tertinggi kelab £15 juta (S$27.18 juta) dari kelab Perancis, Nantes.

Laporan siasatan nahas udara British yang diterbitkan pada Mac tahun lalu menyimpulkan Ibbotson tidak mempunyai lesen juruterbang komersil dan kelayakan untuk menerbangkan pesawat pada waktu malam.

Juruterbang itu hilang kawalan dan terbang terlalu laju ketika cuba mengelak cuaca buruk, dan kedua-dua Ibbotson dan Sala terjejas oleh keracunan karbon monoksida sebelum nahas itu.

Mayat Sala ditemui dari dasar laut pada Februari 2019 tetapi mayat Ibbotson sehingga kini belum ditemui.

- AFP/TQ/tq

Top