Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pengkaji NUS berhasil cipta sut bijak kuasa telefon bimbit buat atlit

Para pengkaji dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berhasil membangunkan sebuah sut bijak tanpa wayar bagi atlit yang kuasanya dijana melalui isyarat elektromagnetik daripada telefon bijak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pengkaji NUS berhasil cipta sut bijak kuasa telefon bimbit buat atlit

Sut yang kuasanya dijana oleh telefon bijak dibangunkan oleh pasukan dipimpin oleh Penolong Profesor John Ho (kiri) termasuk Dr Lin Rongzhou (tengah) dan Dr Kim Han-Joon (kanan). (Gambar: NUS)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 10:55PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 11:00PM

SINGAPURA: Para pengkaji dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berhasil membangunkan sebuah sut bijak tanpa wayar bagi atlit yang kuasanya dijana melalui isyarat elektromagnetik daripada telefon bijak.

Sut bebas bateri itu bukan sahaja ringan bahkan boleh digunakan di tempat terbuka lantas menjadikannya berupaya memantau prestasi fizikal seseorang atlit berdasarkan data fisiologi masa nyata daripada pelbagai sensor.

Universiti itu menyatakan pada Isnin (21 Sep), ia mengambil masa sekitar dua tahun bagi pasukan daripada Institut Inovasi dan Teknologi Kesihatan NUS untuk menghasilkan sut tersebut.

Berdasarkan dapatan kajian yang diterbitkan awal tahun ini, pasukan berkenaan membuktikan bahawa ia mampu menyampaikan isyarat komunikasi jarak dekat telefon bijak ke bahagian-bahagian berlainan pada tubuh dengan menggunakan corak induktif yang direka khas.

Pasukan ini mereka corak benang serupa sarang labah-labah pada sut untuk menyampaikan isyarat tersebut dari telefon bijak berdekatan ke sensor pada badan dari jarak sejauh 1 meter, menyediakan daya kuasa dan ketersambungan data.

Teknologi semasa untuk memantau prestasi fizikal meliputi dari pemantau kecergasan yang boleh dipakai, yang hanya mengumpulkan data daripada satu titik, hinggalah ke peralatan pemantauan klinikal "besar", menurut NUS.

Walau bagaimanapun, "sistem ideal" itu akan mengumpulkan data daripada pelbagai sensor pada badan atlit di persekitaran luar, sambil mengekalkan "kepadatan, berat dan wayar" pada tahap minimum, jelas universiti itu.

"Sut bijak kami sesuai digunakan dengan kebanyakan telefon bijak moden, yang berfungsi sebagai kedua-dua sumber kuasa dan juga paparan untuk melihat data sensor. Pembuatan sut pintar yang dapat diaktifkan menggunakan teknologi tanpa wayar yang terbina dalam telefon bijak adalah satu kejayaan besar," kata Penolong Profesor John Ho yang mengetuai pasukan NUS tersebut.

Prototaip sut bijak semasa itu menyokong sehingga enam sensor bagi setiap telefon bijak ketika mengumpulkan data seperti postur tulang belakang, cara berjalan dan suhu badan, menurut NUS.

Ia menambah potensi penggunaan lain sut bijak itu temasuk diagnosis klinikal bagi gangguan tulang belakang dan pemantauan kesihatan sepanjang masa.

Para penyelidik itu merancang untuk membangunkan sensor baru bagi meningkatkan jangkauan data yang dikumpulkan. Ini selain bekerjasama dengan atlit profesional untuk membantu mereka memantau isyarat fisiologi mereka semasa latihan, menurut universiti itu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan