Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pengganti Wenger bakal didedahkan sebelum Piala Dunia

Arsenal yakin dapat mengumumkan nama pengganti Arsene Wenger sebelum Piala Dunia FIFA Rusia bermula bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengganti Wenger bakal didedahkan sebelum Piala Dunia

Gambar: MATTHEW CHILDS/REUTERS

Diterbitkan : 08 May 2018 10:29PM Dikemas Kini : 08 May 2018 10:32PM

LONDON: Arsenal yakin dapat mengumumkan nama pengganti Arsene Wenger sebelum Piala Dunia FIFA Rusia bermula bulan depan.

Bagaimanapun pasukan itu tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menamakan pengganti pengurus berusia 68 tahun itu, selepas 22 tahun berkhidmat bersama the Gunners.

Namun begitu, bekas jurulatih Barcelona, Luis Enrique dan Massimiliano Allegri dari Juventus dikaitkan dengan jawatan itu.

Selain itu, bekas pemain Arsenal, Mikel Arteta yang kini berkhidmat di Manchester City dan juga Patrick Vieira di New York City turut dikaitkan sebagai calon untuk menggantikan Wenger.

Malah, sebelum ini, terdapat khabar angin yang menyatakan pengurus Monaco, Leonardo Jardim dan Carlo Ancelotti akan mengambil alih tugas Wenger di Stadium Emirates.

Semalam (7 Mei), para penyokong Arsenal meraikan Wenger dalam majlis perpisahan ketika perlawanan terakhirnya di stadium tuan rumah.

Arsenal memberi hadiah perpisahan yang cukup bermakna buat Wenger apabila menang besar 5-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana England.

Pada hari yang diwarnai upacara penghormatan buat warga Perancis itu, kedua-dua pasukan memberi penghormatan kepada Wenger sebelum perlawanan bermula.

Beberapa penyokong dalam stadium yang dipenuhi 60,000 penonton itu juga membuat sorakan ‘hanya ada seorang Arsene Wenger’.

Ada juga yang memakai kemeja-t berwarna merah dengan kata-kata ‘Merci Arsene’ (Terima kasih Arsene).

“Terima kasih kerana meraikan saya. Saya sedar ia bukan mudah.

“Saya mahu menamatkan ucapan dengan satu mesej mudah: Saya akan merindui anda. Terima kasih kerana memainkan peranan penting dalam sebahagian hidup saya,” kata Wenger pada majlis perpisahan yang diadakan selepas perlawanan.

Wenger memenangi tiga gelaran Liga Perdana dalam tujuh Piala FA sepanjang menguruskan Arsenal.

Pencapaian terbesarnya ialah pada musim 2003/04 sewaktu Arsenal menjuarai liga tanpa sebarang kekalahan. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan