Images
  • fas (1)
    Pengarah teknikal baru FAS Joseph Palatsides (memegang jersey merah), menggantikan Michel Sablon. (Gambar: Matther Mohan)

Pengarah Teknikal FAS undur diri atas sebab kesihatan, peribadi

SINGAPURA: Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan pada Selasa (9 Nov) bahawa pengarah teknikalnya, Joseph Palatsides, akan mengundurkan diri daripada persatuan itu pada hujung tahun ini atas "sebab-sebab kesihatan dan peribadi" disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Pengumuman itu dibuat kurang enam bulan selepas persatuan tersebut mengumumkan pada Jun lalu bahawa Encik Palatsides sudah menandatangani satu perjanjian untuk melanjutkan kontraknya selama dua tahun sehingga 2023.

“FAS meletakkan keutamaan pada kesejahteraan diri semua kakitangannya, sesuatu yang lebih penting dalam era COVID-19 ini. Malangnya, kami terpaksa berpisah dengan Joseph tetapi kita perlu membuat keputusan yang sukar ini berdasarkan keadaan," kata Presiden FAS Lim Kia Tong dalam satu kenyataan media.

Encik Palatsides dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAS pada Mei 2019 untuk menyelia pembangunan bola sepak di Singapura.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Encik Palatsides "melakar asas" bagi sebuah "falsafah bola sepak yang selaras" dengan kakitangan jurulatih negara termasuk ketua jurulatih Young Lions, Philippe Aw, dan ketua jurulatih pasukan negara, Tatsuma Yoshida, kata Encik Lim.

"Beliau juga sudah membantu untuk meningkatkan pembangunan pasukan belia elit, bola sepak akar umbi dan wanita serta memperkukuhkan laluan pembangunan belia dan struktur kejurulatihan," tambah Encik Lim.

Pencarian bagi pengganti Encik Palatsides akan dimulakan "tidak lama lagi" dan FAS akan "menilai dengan teliti semua calon yang berpotensi sebelum membuat keputusan bagi jawatan penting ini", menurut persatuan tersebut.

Encik Aw akan menggalas tugas pengarah teknikal buat sementara waktu ini sedang pencarian bagi seorang pengganti dijalankan.

Bercakap di satu sidang media Zoom pada Selasa, Encik Lim berkata Encik Palatsides menghadapi "cabaran luar biasa" yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19 untuk mencari satu pekerjaan di tanah airnya.

Menjawab pertanyaan mengenai pembaharuan kontrak, Encik Lim berkata jawatankuasa eksekutif FAS melanjutkan kontrak Encik Palatsides atas saranan Encik Lim serta setiausaha agung persatuan tersebut.

Bercakap di sidang media itu dari Australia, Encik Palatsides enggan menjelaskan secara terperinci apakah sebab-sebab peribadi dan kesihatan yang dimaksudkan dengan setakat mengatakan bahawa beliau "komited sepenuhnya" kepada FAS dan bola sepak Singapura.

Encik Palatsides mengambil cuti tahunan terkumpul untuk menziarahi keluarganya pada Ogos.

Encik Palatsides menambah beliau berhasrat untuk kembali ke Singapura selepas mengambil cuti tetapi rancangannya itu ditundakan atas isu-isu kesihatan.

Dalam pengumumannya tentang pelanjutan kontrak Encik Palatsides pada awal tahun ini, FAS menyatakan beliau akan memainkan peranan utama dalam projek 'Unleash The Roar'. Projek itu adalah sebuah rancangan negara untuk mengembangkan landskap bola sepak tanah air. Melalui projek itu, Encik Palatsides akan terus bekerja rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk "merangsang ekosistem bola sepak negara dan meningkatkan taraf bola sepak Singapura di semua peringkat". 

- CNA/FZ/fz

Top