Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pengalaman pahit di KL bakar semangat Aqilah raih pingat emas di Filipina

Kekalahan di tangan pasukan tuan rumah Malaysia di Sukan SEA 2017 masih menghantuinya sehingga ke hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kekalahan di tangan pasukan tuan rumah Malaysia di Sukan SEA 2017 masih menghantuinya sehingga ke hari ini.

Malah, selama beberapa bulan selepas perlawanan itu, kekuatan mental dan emosi pemain bola jaring negara Nur Aqilah Andin turut terjejas.

Aqilah mendedahkan bahawa kekalahan di Sukan SEA 2017 menjejas mental dan emosi beliau. (Gambar: BERITAmediacorp)

Ini kerana penampilan sulung beliau berakhir dengan kekecewaan setelah pasukan bola jaring tanah air gagal mempertahankan pingat emas yang diraih dalam edisi sebelumnya iaitu semasa Singapura menjadi tuan rumah pada 2015.

Jurangnya juga sungguh ketara – dengan pasukan negara sebagai juara bertahan hanya mampu menjaringkan 41 gol berbanding 65 oleh pasukan tuan rumah Malaysia.
“Ada malam yang saya tidak boleh tidur atau menangis sebelum tidur kerana terlalu kecewa dengan prestasi saya dan juga pasukan saya. Kadangkala saya juga berharap saya dapat putarkan masa kembali kepada perlawanan akhir itu dan melakukan dengan lebih baik lagi,” kongsi atlit berusia 23 tahun itu.

Namun, dua tahun sudah berlalu dan kini pasukan bola jaring Singapura sudah bersedia untuk merampas semula takhtanya. Lebih daripada itu, pengalaman pahit yang pernah dilalui hanya akan menguatkan lagi azam Aqilah dan pasukannya untuk menebus kekalahan itu.

“Kami sangat mahukan pingat emas itu bukan semata-mata untuk merampas ia kembali tetapi ingin menebuskan diri daripada prestasi yang kurang memuaskan pada tahun 2017,” luah Aqilah yang kini menggalas tanggungjawab lebih berat sebagai naib kapten pasukan.

KORBAN MASA DEMI RAIH KECEMERLANGAN

Setiap Isnin hingga Jumaat, pagi-pagi lagi pemain pertahanan setinggi 1.73m itu meninggalkan kediamannya di kawasan Pioneer untuk ke Hab Sukan Singapura bagi menjalani latihan dari 8.00 hingga 10.00 pagi.

Penyelaras undang-undang berkenaan kemudian bergegas ke tempat kerja di Marina Bay sebelum menjalani sesi latihan kedua pada 6.30 petang. “Sejujurnya ia amat sukar. Saya masih sedang menyesuaikan diri dengan rutin baru ini. Banyak masa diluangkan untuk komitmen bola jaring dan tentunya ada pengorbanan yang harus dilakukan.

“Antara pengorbanan yang saya telah lakukan adalah untuk hentikan social life dan terus menggunakan masa itu untuk berehat,” luahnya sambil menambah bahawa latihan biasanya berakhir pada sekitar 9.30 malam dan beliau hanya sampai ke rumah selepas pukul 11.00 malam. 

Bagaimanapun, tekad untuk mengharumkan nama negara membakar semangat Aqilah untuk terus berjuang tanpa mengenal erti penat. Tambahan pula, rakan-rakan sepasukannya turut membantu memberi kata-kata perangsang antara satu sama lain.

MUDA BERTENAGA

Menurut jurulatih pasukan Natalie Milicich, skuad yang bakal mewakili negara di Filipina pada hujung bulan ini akan membariskan ramai pemain muda.

Jurulatih Natalie Milicich mengambil alih pada September 2017. (Gambar: BERITAmediacorp)

Hanya lima pemain saja daripada pasukan 2017, dengan lebih separuh akan bertarung di gelanggang Sukan SEA buat pertama kali.

“Kami telah memastikan kami menyertakan anak-anak muda dalam pasukan ini kerana mereka membawa bersama mereka semangat juang dan keghairahan serta semangat dalam cara permainan mereka. Kami sebenarnya mempunyai keseimbangan dari segi pengalaman (pemain veteran) dan semangat anak muda yang sejauh ini telah banyak membantu,” ujar warga New Zealand itu.

Ternyata, strategi beliau sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada September 2017, membuahkan hasil dengan Singapura merangkul pingat perak semasa pertandingan Piala Negara-Negara M1 bulan lalu – kali terakhir ia layak ke perlawanan akhir adalah empat tahun lalu. 

Dalam pada itu, anak didik jurulatih yang berusia 50 tahun itu juga berjaya menumpaskan seteru utama, Malaysia dalam kedua-dua pertemuannya sejak di bawah bimbingan beliau.

Singapura mendapat tempat kedua iaitu prestasi terbaik di Piala Negara-Negara M1 sepanjang 5 tahun ini. (Gambar: Netball Singapore/Facebook) 

BAKAT PERLU DIASAH

Meskipun begitu, Natalie yang berpengalaman menjadi jurulatih pasukan bola jaring peringkat elit menekankan bahawa lebih banyak perlu digarap memandangkan skuad negara jiran belum lagi menunjukkan taring sebenar.

“Ada beberapa pemain veteran yang akan turun padang (bagi Sukan SEA ini) dan kami semua akur mereka sangat berpengalaman sehingga mampu meningkatkan tahap permainan Malaysia. Jadi, kami perlu memastikan kami bersedia menghadapi mereka,” katanya lagi.

Justeru, latihan pasukan negara juga dilengkapi dengan sesi-sesi membina kekuatan minda agar srikandi kita kuat mengatasi detik-detik kurang memberangsangkan dan rasa gerun semasa menghadapi musuh.

Selain pemain muda dan sesi-sesi sedemikian, jurulatih berpandangan jauh itu juga menambah bahawa pengalaman berlatih bersama juara dunia Silver Ferns New Zealand pada pertengahan tahun ini turut membantu skuad Singapura menyesuaikan diri dengan corak permainan yang lebih berkesan.

Menyingkap pengalamannya di sana, Aqilah mengongsi: “Kami diperkenalkan degan struktur permainan yang baru dan lebih efektif. Ia menggalakkan kami untuk menggunakan kebijaksanaan kami dengan lebih cekap.”

Berbekalkan pengalaman serta kerja keras mereka sepanjang tahun ini, Natalie, Aqilah dan pasukan bola jaring negara akan masuk gelanggang di Laguna, Filipina mulai 25 November ini penuh yakin dan tekad untuk membawa pulang pingat emas buat Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan