Images
  • eymar
    Neymar. (Gambar: AFP/FRANCK FIFE)

Pendakwa raya akan gugurkan tuduhan rogol terhadap Neymar

SAO PAULO: Pendakwa raya Brazil menyatakan pihaknya menggugurkan dakwaan rogol yang dihadapi bintang bola sepak, Neymar sekali gus menamatkan kemelut kes paling berat dihadapi pemain Paris St Germain itu.

Bekas kapten Brazil itu dituduh merogol seorang peragawati dalam sebuah bilik hotel di Paris namun siasatan mendapati ia kekurangan bukti.

"Hanya terdapat hubungan mesra saja,” kata seorang pegawai pendakwa raya, Estefania Paulin, kepada wartawan di Sao Paulo.

"Tidak ada bukti berlaku keganasan seks.”

Seorang hakim kini perlu mengeluarkan keputusan mengenai kes itu selepas polis yang menyiasat tuduhan itu mendapati tiada serangan dilakukan terhadap mangsa. Dalam pada itu, keluarga Neymar menyambut baik keputusan berkenaan.

"Satu lagi langkah sudah dibuat, yang paling besar dan begitu bermakna sekali sepanjang perjalanan kes yang begitu getir yang menyaksikan kami sekeluarga hidup dalam kebimbangan selama beberapa bulan,” kata Encik Neymar Sr.

Kes Neymar mendapat perhatian seluruh dunia sejak Mei selepas seorang peragawati membuat aduan yang mendakwa bekas penyerang Barcelona dan Santos itu memperkosanya dalam sebuah bilik hotel apabila mereka bertemu.

Neymar menafikan tuduhan itu dan menyebarkan mesej peribadi dan gambar-gambar menerusi bagi mempertahankan dirinya.

Namun, Neymar masih berdepan satu lagi siasatan berhubung kes jenayah menyebarkan gambar yang menjolok mata menerusi internet.

- AFP/NA/na

Top