Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Penangguhan Olimpik mungkin 'tidak dapat dielakkan', kata PM Jepun

Penangguhan sukan Olimpik akibat wabak COVID-19 mungkin "tidak dapat dielakkan", kata Perdana Menteri Jepun pada Isnin (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Penangguhan Olimpik mungkin 'tidak dapat dielakkan', kata PM Jepun

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Mar 2020 03:01PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 03:04PM

TOKYO: Penangguhan sukan Olimpik akibat wabak COVID-19 mungkin "tidak dapat dielakkan", kata Perdana Menteri Jepun pada Isnin (23 Mac), setelah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menyatakan pihaknya mempertimbangkan untuk menunda acara itu menyusuli tekanan yang meningkat oleh para atlit dan badan-badan sukan.

Komen yang diberikan oleh Perdana Menteri Shinzo Abe merupakan pengakuan pertama oleh beliau bahawa Sukan Olimpik 2020 mungkin tidak akan dirasmikan seperti dijadualkan pada 24 Julai, sedang jumlah kes COVID-19 terus meningkat di seluruh dunia, mencetuskan huru-hara.

Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Kanada sementara itu mengumumkan bahawa ia tidak akan menghantar pasukan untuk menyertai acara sukan itu jika ia diadakan pada musim panas ini, dengan memberikan sebab-sebab berhubung kesihatan atlit dan orang awam.

Jawatankuasa Olimpik Australia pula memberitahu para atlit untuk bersiap sedia untuk acara Olimpik Tokyo pada musim panas 2021.

"Jelas Sukan Olimpik tidak boleh diadakan pada Julai," kata chef de mission Australia, Ian Chesterman.

Selama beberapa minggu, Jepun dan para pegawai Olimpik menegaskan bahawa persediaan bagi acara Olimpik sedang diteruskan mengikut jadual, namun, terdapat tekanan daripada persatuan sukan dan para atlit kerana latihan mereka terjejas.

Pada Isnin, Perdana Menteri Abe memberitahu parlimen bahawa Jepun tetap komited untuk menjadi tuan rumah acara sukan Olimpik "yang lengkap" tetapi menambah: "Jika ia menjadi sukar, dan bagi mengutamakan para atlit, kami mungkin tidak dapat mengelakkan daripada membuat keputusan untuk menangguhkannya."

"Pembatalan bukanlah satu pilihan," kata Encik Abe, menyokong komen oleh ketua IOC Thomas Bach, yang menolak pembatalan acara sukan Olimpik, sambil berkata bahawa "ia tidak akan menyelesaikan sebarang masalah dan tidak akan membantu sesiapa".

IOC juga mengubah kedudukannya berhubung sukan Olimpik, dengan mengeluarkan kenyataan pada Ahad (22 Mac) yang menyatakan ia sedang bersiap sedia untuk merancang bagi pelbagai senario termasuk penangguhan.

Menurut IOC, ia akan mengadakan "rundingan terperinci" mengenai situasi kesihatan seluruh dunia dan kesannya terhadap Sukan Olimpik, termasuk senario berlaku penangguhan".

Satu keputusan akan dicapai "dalam tempoh empat minggu akan datang," menurut badan itu lagi.

"Nyawa manusia diutamakan lebih daripada segala-galanya, termasuk menganjurkan acara sukan Olimpik," tulis Encik Bach dalam surat terbuka kepada para atlit.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan