Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Penaja Olimpik Tokyo gesa temasya dibatalkan

Akhbar Asahi Shimbun, yang juga penaja rasmi Olimpik Tokyo, antara suara terbaru sejak kebelakangan ini yang  lantang menggesa  temasya itu dibatalkan di tengah keadaan darurat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Penaja Olimpik Tokyo gesa temasya dibatalkan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 May 2021 08:49PM Dikemas Kini : 26 May 2021 08:50PM

TOKYO: Akhbar Jepun, Asahi Shimbun, yang juga penaja rasmi Sukan Olimpik Tokyo, pada Rabu (26 Mei) menggesa agar temasya itu dibatalkan.

Kenyataan itu adalah antara tentangan terbaru terhadap Olimpik Tokyo, kurang dua bulan sebelum berlangsungnya upacara pembukaan pada Julai.

Pendapat awam di Jepun dengan tegas menentang penganjuran Sukan pada musim panas ini, dan setelah pemimpin perniagaan terkemuka menyuarakan kebimbangan mereka sejak beberapa minggu lalu.

Pihak penganjur bagaimanapun tetap bertegas bahawa temasya itu akan berlangsung mengikut jadual, sambil menyatakan buku peraturan yang menyeluruh akan memastikan keselamatan atlit dan masyarakat am Jepun.

Menerusi editorial akhbar Asahi, mereka menggesa Perdana Menteri Yoshihide Suga "membuat penilaian tenang dan objektif mengenai keadaan dan membuat keputusan membatalkan Olimpik musim panas ini".

Akhbar itu menegaskan ia "tidak boleh menerima risiko" menganjurkan acara berkenaan walaupun penganjur menegaskan ia boleh diadakan dengan selamat.

Akhbar itu juga menuduh pemimpin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, termasuk naib presiden John Coates, terlalu menganggap dirinya betul dan "jelas tidak memahami" sentimen masyarakat umum Jepun.

Ketika ditanya minggu lalu jika temasya itu boleh diadakan walaupun dalam keadaan darurat, Encik Coates berkata "jawapannya tentu sudah pasti."

Tokyo dan bahagian lain Jepun kini berada dalam keadaan darurat, yang dijangka dilanjutkan minggu ini hingga 20 Jun.

"Mengatakan 'ya' tanpa memberi alasan jelas sekali lagi menekankan imej IOC yang menganggap pihaknya saja yang benar," tulis editorial Asahi.

CEO Tokyo 2020 Toshiro Muto berkata adalah "wajar" bahawa "organisasi media yang berbeza mempunyai pandangan yang berbeza", tetapi akur bahawa orang ramai sedang berasa "cemas".

"Kerajaan nasional dan daerah telah melaksanakan langkah-langkah ketat untuk membendung penyebaran jangkitan, dan kami yakin keadaan akan bertambah baik akibatnya," katanya.

Encik Muto menambah bahawa tidak seorang pun anggota lembaga eksekutif yang meminta agar Olimpik Tokyo dibatalkan atau ditunda.

Dua tokoh perniagaan terkemuka Jepun juga sejak beberapa minggu lalu telah menyuarakan bantahan mereka terhadap penganjuran Olimpik.

Encik Masayoshi Son, ketua gergasi pelaburan teknologi SoftBank Group, menulis di Twitter pada Ahad: "Adakah IOC mempunyai hak untuk memutuskan sama ada ia diadakan atau tidak?"

"Jika anda fikirkan tentang apa yang harus ditanggung oleh orang lain, kami mungkin akan rugi lebih banyak lagi" jika temasya diteruskan, tambahnya.

Awal bulan ini, Hiroshi Mikitani, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat gergasi e-dagang Rakuten, menyifatkan Olimpik Tokyo sebagai "misi bunuh diri".

"Risikonya terlalu besar dan ... Saya menentang diadakan Sukan Olimpik Tokyo tahun ini," katanya kepada CNN.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan