Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pematuhan SOP penting demi kelangsungan Liga-M

Pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pematuhan SOP penting demi kelangsungan Liga-M
Diterbitkan : 16 Feb 2021 11:03PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:05PM

KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setelah kerajaan memberikan kebenaran kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), untuk mengadakan Liga-M menerusi pendekatan kuarantin di kem atau rumah di bawah konsep gelembung sukan, komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan COVID-19 tidak menular, sepanjang saingan liga berlangsung.

Pemain Penang FC Abdul Latiff Suhaimi berkata SOP kali ini sedikit berbeza, namun beliau akan sedaya upaya mengikuti arahan yang ditetapkan, selain menyeru semua pihak ada kesedaran yang sama.

“Ikut sahaja SOP yang telah ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) jika sayangkan bola sepak kita, selain memastikan kita dapat melangsungkan semua perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia musim ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan MFL.

Sementara itu, pemain pertahanan UiTM FC Afif Asyraf Mohamad Zabawi berasa SOP kali ini menuntut disiplin yang tinggi daripada pemain dan pasti memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan norma baru berkenaan.

Namun, Afif Asyraf berkata apa yang mustahak adalah peluang yang telah diberikan oleh MKN untuk semua pasukan turun berlatih bermula semalam, dan beliau selaku pemain sudah tidak sabar untuk turun beraksi.

“Ini jelas satu norma baru yang perlu dilalui, namun saya rasakan tiada masalah buat pemain-pemain ikuti SOP ini sebaik mungkin. Peluang telah diberikan dan kami akan gunakan masa yang ada untuk pastikan pasukan bersedia hadapi Liga,” katanya.

Pemain Perak Amirul Azhan Aznan pula berpandangan, tempoh persiapan yang singkat bagi menghadapi pembukaan Liga-M berbanding sebelum ini bukan satu masalah yang besar, asalkan pemain-pemain mampu ikuti program yang telah direncanakan jurulatih.

Liga musim ini dijadual bermula 5 Mac ini dengan perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, menjadi aksi pembuka tirai.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan