Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemanah kurang upaya S’pura Nur Syahidah Alim antara 10 terbaik di dunia

Berita gembira lagi membanggakan menanti pemanah kurang upaya negara, Nur Syahidah Alim, sebaik sahaja beliau mendarat di Singapura 7 Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Berita gembira lagi membanggakan menanti pemanah kurang upaya negara, Nur Syahidah Alim, sebaik sahaja beliau mendarat di Singapura 7 Mei lalu. Digesa oleh rakan-rakannya untuk menyemak ranking sukan memanah sedunia yang baru dikeluarkan, Nur Syahidah terkejut apabila melihat namanya dalam kedudukan 10 teratas. Lebih tepat lagi, tangga ke-9.

“Senarai tersebut dikeluarkan selepas tamatnya Piala Memanah Para Eropah di Itali. Dengan adanya para pemanah lain yang lebih berpengalaman dan handal dari Korea dan China, saya rasa kedudukan Singapura di tangga ke-9 sesuatu yang membanggakan. Walaupun sasaran saya di setiap pertandingan adalah untuk naik podium, meraih ranking 10 teratas di dunia bukan sesuatu yang saya jangkakan,” kongsi beliau dengan rendah hati.

Persekutuan Sukan Memanah Sedunia atau World Archery Federation mengeluarkan senarai tersebut setiap tahun. Nur Syahidah berjaya melompat enam tangga berbanding tahun lepas, dengan mencatat 114.2 mata dalam kategori ‘Compound Women Open Individual’ bagi pemanah kurang upaya. Menurut Nur Syahidah, markah yang diberikan pula, berlandaskan beberapa kriteria seperti bilangan atlit yang bertanding, prestasi mereka serta kedudukan terakhir yang diperolehi dalam setiap pertandingan.

Walaupun hanya menceburi sukan memanah secara kompetitif sejak 4 tahun yang lalu, Nur Syahidah yang berusia 34 tahun sudah berjaya meraih pelbagai anugerah dan mencipta rekod. 8 Mei lalu, beliau dinobat sebagai duta terbaru Paralimpik BP Singapura, bersama perenang kurang upaya Toh Wei Soong. Pada 2016 pula, Nur Syahidah menjadi pemanah kurang upaya pertama untuk mewakili Singapura di Sukan Paralimpik Rio di mana beliau berjaya mara hingga ke peringkat suku akhir.

GIGIH BERLATIH MESKI BERPUASA

Kejayaan yang dikecapi sejauh ini membakar semangat Nur Syahidah untuk terus memburu kecemerlangan.

Dengan lebih kurang dua minggu sahaja sebelum Kejohanan Memanah Para Sedunia di Belanda, Nur Syahidah yang mengalami palsi serebrum masih gigih berlatih walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan agar prestasi beliau tidak terjejas.

Misalnya, juadah sahur dipastikan kaya dengan karbohidrat untuk menjana tenaga sepanjang hari. Diet yang lebih seimbang dengan protin untuk membantu pemulihan otot-otot pula menjadi santapan sewaktu berbuka puasa. Bagi mengelakkan daripada kelesuan haba, waktu latihan turut ditukar kepada sebelah pagi dan Nur Syahidah sering menekap ais pada bahagian muka dan leher untuk menurunkan suhu badan.

WAWASAN TOKYO 2020

Menurut Nur Syahidah, kejohanan di Belanda yang bakal menjelang amat penting kerana ia akan menentukan sama ada beliau layak bertanding di Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos tahun depan. Sebagai satu-satunya pemanah kurang upaya wanita Team Singapore, beliaulah tunggak harapan negara. Nur Syahidah berharap pengalaman yang ditimbanya daripada Sukan Paralimpik Rio tiga tahun lalu dapat dimanfaatkan untuk mengejar pingat Paralimpik buat kali kedua.

(Gambar: Sport Singapore)

(Gambar: Sport Singapore)

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan