Pemain West Ham setuju tangguhkan pembayaran sebahagian gaji
Pemain kelab Liga Perdana England West Ham bersetuju menangguhkan pembayaran sebahagian gaji mereka sepanjang pandemik COVID-19 manakala gaji pengurusnya David Moyes akan dipotong 30 peratus.
LONDON: Pemain kelab Liga Perdana England West Ham bersetuju menangguhkan pembayaran sebahagian gaji mereka sepanjang pandemik COVID-19 manakala gaji pengurusnya David Moyes akan dipotong 30 peratus.
Langkah itu diambil beberapa hari selepas pesaing Liga Perdana Southampton melakukan perkara sama dengan para pemain mereka sebagai usaha kelab itu menangangi masalah kewangan akibat penangguhan sukan itu sejak sebulan lalu.
“Penjimatan daripada langkah ini akan membantu keseluruhan infrastruktur kelab dan membolehkan kami mengekalkan pekerjaan dan terus membayar 100 peratus gaji kakitangan,” menurut West Ham dalam satu kenyataan.
Pengerusi bersama David Sullivan dan David Gold serta rakan kongsi lain turut bersetuju menyuntik dana 30 juta pound (S$53 juta) kepada kelab.
Naib pengerusi Karren Brady dan pengarah kewangan Andy Mollet turut memotong 30 peratus gaji mereka, seperti Moyes.
Kapten West Ham Mark Noble, yang memainkan peranan penting dalam inisiatif #PlayersTogether bagi mengumpul dana untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain, berkata beliau bangga persetujuan berkenaan gaji itu dicapai.
“Sebagai pemain kami sentiasa berbincang dengan kelab sejak situasi berkenaan COVID-19 muncul, dan saya bangga keseluruhan skuad kami menyatakan hasrat mereka untuk memainkan peranan dalam membantu yang lain dalam situasi ini.
“Di West Ham, kami adalah satu pasukan dan keutamaan kami selari dengan matlamat kelab dalam memastikan semua kakitangan dibayar 100 peratus gaji mereka ketika kami tidak dapat meneruskan perlawanan,” kata Noble.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.