Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain tenis meja S'pura Izaac Quek Yong ungguli senarai pemain terbaik dunia bawah 15 tahun

Izaac Quek Yong menjadi rakyat Singapura yang pertama mengungguli ranking pemain tenis meja terbaik dunia bagi kategori bawah 15 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain tenis meja S'pura Izaac Quek Yong ungguli senarai pemain terbaik dunia bawah 15 tahun

(Gambar: Facebook/STTA)

Diterbitkan : 14 Apr 2021 10:46PM Dikemas Kini : 14 Apr 2021 11:11PM

SINGAPURA: Izaac Quek Yong menjadi rakyat Singapura yang pertama mengungguli ranking pemain tenis meja terbaik dunia bagi kategori bawah 15 tahun.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu (14 Apr), Persatuan Tenis Meja Singapura (STTA) turut mendedahkan bahawa remaja berusia 14 tahun itu kini bertakhta sebagai pemain nombor satu dunia selepas Persekutuan Tenis Meja Antarabangsa mengemas kini senarai pemain tersebut.

"(Beliau) adalah rakyat Singapura yang pertama untuk mencatat pencapaian bersejarah itu," menurut STTA.

Pada tahun lalu, Izaac menjuarai Kejohanan Terbuka Kadet dan Remaja ITTF Sweden.

Di peringkat akhir Kejuaraan Tenis Meja Singapura pada bulan lalu, Izaac menduduki tempat ketiga dalam kategori perseorangan lelaki dan dinobat juara bagi acara beregu lelaki bersama rakan sepasukannya Ethan Poh.

Menurut Izaac dalam kenyataannya: "Saya sangat berbesar hati dan berasa bangga kerana dapat meraih pencapaian ini. Ia adalah satu detik bersejarah dan saya sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Persatuan Tenis Meja Singapura, SportSG, Institut Sukan Singapura dan Sekolah Sukan Singapura.

"Saya akan terus bekerja keras dan berusaha lebih gigih untuk mencatat kemenangan dalam bidang sukan ini bagi Singapura."

Presiden STTA Ellen Lee berkata Izaac telah bekerja keras dan "benar-benar layak mendapat pencapaian baru ini".

Menurut Cik Lee, Izaac sudah mula berlatih di Pusat Latihan Zon Bishan STTA sejak beliau berusia tujuh tahun.

Beliau kemudian dipilih untuk menyertai skuad pembangunan remaja dan skuad latihan belia.

Izaac kemudian meneruskan perjalanan sukannya di Sekolah Sukan Singapura dan akhirnya dipilih bagi skuad pelapis STTA pada tahun lalu.

"Pencapaian Izaac menjadi bukti bahawa STTA berada di landasan yang betul untuk mencungkil dan mengasah bakat-bakat yang berpotensi tinggi menjadi atlit bertaraf dunia," kata Cik Lee.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan