Images
  • hafiz nor
    (Gambar: Facebook/FAS)

Pemain Singa Hafiz Nor diuji positif COVID-19

SINGAPURA: Pemain bola sepak lelaki negara Hafiz Nor disahkan positif COVID-19 selepas dia mengambil ujian tindak balas berantai polimerase pada Jumaat (19 Nov).

Ini setelah pemain penyerang itu menerima amaran risiko kesihatan pada 8 November, setelah dikenal pasti sebagai anggota serumah kes COVID-19 yang sedang menjalani perintah pengasingan.

Sejak itu, Hafiz tidak lagi berjumpa dengan anggota pasukan yang lain, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan pada Ahad (21 Nov).

Hafiz akan terus menjalani pengasingan kendiri sementara keadaannya terus dipantau.

Sementara itu, kapten pasukan Singa Hariss Harun dibenarkan menyertai semula latihan setelah "menjalani ujian pemeriksaan kardiopulmonari bagi mengesahkan sebarang kemungkinan mengalami miokarditis", menurut FAS.

"Hariss yang diuji positif COVID-19 pada awal bulan ini, sudah sembuh dan sedang menjalani latihan penuh bersama anggota pasukan lain," tambahnya.

Kedua-dua Hafiz dan Hariss tidak dapat menyertai kem latihan di Dubai dari 8 November hingga 17 November.

FAS menyatakan ia akan terus "mengambil segala langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan Pasukan Bola Sepak Negara diberi keutamaan sedang mereka melakukan persiapan bagi Piala AFF Suzuki 2020".

Singapura akan menjadi tuan rumah Piala AFF Suzuki 2020 pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 setelah ia ditunda kerana pandemik COVID-19.

Pasukan Singa akan menentang Myanmar pada hari pertama perlawanan itu.

- CNA/HA/ha

Top