Images
  • Hein Htet Aung
    Hein Htet Aung (kanan), bermain untuk divisyen kedua Malaysia, Selangor FC II. (Gambar: AFP/Sai Aung MAIN)

Pemain bola sepak Myanmar digantung 1 perlawanan gara-gara tunjuk isyarat anti rampasan kuasa

KUALA LUMPUR: Seorang pemain bola sepak warga Myanmar yang bermain untuk kelab bola sepak Malaysia digantung satu perlawanan.

Ini kerana beliau menunjukkan isyarat tiga jari bagi menunjukkan sokongannya kepada para penunjuk perasaan anti rampasan kuasa tentera Myanmar semasa beraksi dalam perlawanan tersebut.

Demikian menurut seorang pegawai hari ini (30 Mac).

Hein Htet Aung, yang bermain bagi kelab divisyen dua Selangor FC II, membuat isyarat politik itu dalam perlawanan menentang PDRM FC awal bulan ini.

Satu gambar yang menunjukkan beliau mengeluarkan isyarat tersebut menjadi tular dan beliau didapati melanggar peraturan yang melarang sebarang isyarat atau bahasa yang menyinggung perasaan, menurut persatuan bola sepak Malaysia, sambil menambah kelakuannya "tidak menggambarkan semangat kesukanan".

Hein Htet Aung sudahpun dilarang daripada bermain dalam perlawanan menentang Perak FC II pada Jumaat (2 Apr) dan mungkin berdepan denda lebih berat jika beliau mengulangi kesalahannya itu.

"Bola sepak mesti melangkaui kaum, agama dan politik," tegas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Boleh Sepak Malaysia, Baljit Singh Sidhu, kepada AFP.

"Bola sepak mesti menyatukan semua orang dan bukan memecahbelahkan mereka dan tidak harus berpihak kepada sesiapa."

Isyarat tiga jari itu, yang diilhamkan daripada filem Hunger Games, menjadi lambang bagi menunjukkan bantahan di Asia dan pertama kali digunakan secara meluas oleh para penunjuk perasaan pro-demokrasi Thailand tahun lalu.

Ia juga digunakan oleh para penyokong demokrasi yang mengadakan bantahan di Myanmar selepas tentera merampas kuasa dan menahan pemimpin awam Aung San Suu Kyi pada Februari tahun ini.

Rampasan kuasa itu mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh Myanmar namun pihak tentera terus meningkatkan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan untuk meleraikan bantahan mereka, dengan lebih 500 orang terbunuh setakat ini.

- AFP/NK/nk

Top