Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pemain Balestier Khalsa diuji positif COVID-19

Seorang pemain bola sepak Balestier Khalsa diuji positif COVID-19. Akibatnya, dua perlawanan seterusnya kelab itu sudahpun ditunda, dedah Liga Perdana Singapura (SPL) pada Ahad (19 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemain Balestier Khalsa diuji positif COVID-19

Kelab Bola Sepak Balestier Khalsa. (Gambar fail: Balestier Khalsa Football Club/Facebook)

Diterbitkan : 19 Sep 2021 10:38PM Dikemas Kini : 19 Sep 2021 10:39PM

SINGAPURA: Seorang pemain bola sepak Balestier Khalsa diuji positif COVID-19. Akibatnya, dua perlawanan seterusnya kelab itu sudahpun ditunda, dedah Liga Perdana Singapura (SPL) pada Ahad (19 Sep).

Pemain berkenaan, yang tidak didedahkan namanya, akan diletakkan di sebuah kemudahan kuarantin, menurut SPL dalam kenyataannya.

Beliau dikesan dijangkiti COVID-19 ketika menjalani ujian swab berkumpulan yang wajib dijalani setiap minggu bagi semua pemain SPL dan pegawai kelab, menurut liga itu.

Seluruh skuad Balestier Khalsa sudahpun mula menjalani pengasingan kendiri dan sesi latihan akan digantung sepanjang 10 hari akan datang, tambah liga itu.

Para pemain Balestier Khalsa serta pegawai pasukan juga akan menjalani ujian pantas dan mudah (FET) pada 21 dan 23 September. Ini disusuli dengan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) pada 25 September, tambah SPL.

Selain itu, dua perlawanan akan datang Balestier Khalsa - menentang Hougang United pada 24 Septemer dan Geylang International pada 29 September - akan dijadualkan semula ke satu tarikh kelak.

"Pengendali Stadium Toa Payoh serta Stadium Jalan Besar sudahpun dimaklumkan dan protokol pembersihan rapi yang perlu bagi kemudahan-kemudahannya sudahpun dimulakan sejak itu," tambah SPL.

Dalam kenyataan di laman Facebook kelab itu, Balestier Khalsa menyatakan ia mengikut "amalan terbaik" dalam prosedur dan protokol COVID-19.

Kelab itu menyatakan ia bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk menjaga kesihatan para pemain serta kakitangannya dari awal pandemik itu tercetus.

"Kami akan terus berbuat demikian dengan menjalankan kerja pembersihan rapi di premis-premis kelab kami dan menjalankan siri ujian untuk memastikan kesemua kelab bebas COVID-19," tambahnya.

KES KEDUA MINGGU INI

Ini adalah kes kedua COVID-19 melibatkan seorang pemain daripada SPL minggu ini.

Sebelumnya, SPL menyatakan ia diberitahu pada malam Isnin bahawa seorang pemain Geylang International diuji positif selepas jangkitannya dikesan melalui ujian berkumpulan wajib yang dijalankan setiap minggu.

Seluruh skuad itu menjalani pengasingan kendiri dengan sesi latihan digantung dan perlawanan seterusnya kelab tersebut dijadualkan semula.

Dalam kenyataannya berhubung jangkitan itu, SPL menyatakan rejim ujian mingguannya dijalankan untuk membolehkan pengesanan awal kes disyaki positif dan bagi memastikan "protokol diperlukan" dilaksanakan secara proaktif.

Musim SPL disambung semula pada 17 Jul dengan perlawanan diadakan secara tertutup.

Apabila ia pertama kali disambung semula, sehingga 250 peminat dibenarkan menonton perlawanan SPL. Semua penonton mesti lengkap divaksin atau menunjukkan hasil negatif ujian COVID-19.

Jumlah saiz penonton kemudian dikecilkan kepada 100 selepas Singapura kembali semula ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada Julai. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan