Images
  • yeo jia min
    Pemain badminton Singapura Yeo Jia Min (Gambar: Georgios Kefalas/Keystone via AP)

Pemain badminton S'pura, Yeo Jia Min mara ke suku akhir kejuaraan dunia

SINGAPURA: Pemain badminton negara Yeo Jia Min ialah pemain wanita perseorangan Singapura yang pertama untuk mara ke peringkat suku akhir Kejuaraan Dunia BWF, setelah mengalahkan pemain vietnam Vu Thi Trang dalam tiga set pada Khamis (22 Ogos).

Pemain berusia 22 tahun itu, yang mengalahkan pemain nombor 74 dunia dengan pungutan mata 21-15, 14-21, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam, berkata kejayaan itu membuatnya "gembira dan ghairah".

"Dalam set kedua saya bermula lebih perlahan dan beliau lebih konsisten," katanya.

Namun Yeo bangkit semula dan mencapai kemenangan ke atas pemain Vietnam, mengakhiri perlawanan dengan melutut kesyukuran apabila rembatan terakhir Vu terkena jaring lantas melayakkan Yeo ke pusingan seterusnya.

"Saya begitu lega kerana saya betul-betul ingin menang," kata Yeo.

Sebelum ini, Yeo berjaya menewaskan pemain No 1 dunia, Akane Yamaguchi di kejuaraan antarabangsa itu di Basel, Switzerland.

Yeo, yang berada di tempat ke-32 ranking sedunia, bakal berdepan dengan pemain Thailand Ratchanok Intanon di peringkat suku akhir nanti.

Intanon sebelum ini menewaskan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia,18-21 23-21 21-10.

Warga Singapura itu memenangi kejuaraan pertamanya tahun ini awal bulan Ogos dengan membawa pulang Kejuaraan Terbuka Hyderabad bagi acara perseorangan. 

- CNA/TQ/tq

Top