Images
  • laughing arsenal
    Petikan rakaman video menunjukkan pemain Arsenal berpesta guna gas ketawa

Pemain Arsenal dirakam berpesta guna gas ketawa

LONDON: Pasukan Arsenal pada Jumaat (7 Dis) menyatakan pihaknya akan "mengingatkan para pemain mengenai tanggungjawab mereka" selepas satu rakaman menunjukkan beberapa bintang pasukan itu menyedut nitrogen oksida atau lebih dikenali sebagai nitrous oxide, unsur utama dalam gas ketawa.

Rakaman CCTV yang didedahkan akhbar The Sun pada Jumaat menunjukkan empat pemain iaitu Mesut Ozil, Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette dan Matteo Guendouzi menyedut gas tersebut daripada belon.

Menurut kenyataan pasukan Arsenal: "Para pemain akan dipanggil dan diingatkan akan tingkah laku dan tanggungjawab mereka sebagai wakil kelab."

Nitrogen oksida, juga dikenali sebagai gas ketawa atau "hippy crack", dan boleh didapati dengan mudah. Namun, ia dilarang dijual untuk tujuan riadah.

Ia boleh memberikan beberapa kesan buruk seperti memperlahankan fungsi otak dan tindak balas refleks anggota tubuh badan.

Ia memberikan perasaan khayal kepada pengguna dan boleh menyebabkan halunisasi, selain daripada kesan-kesan sampingan lain seperti sakit kepala, pening dan juga gangguan mental.

Dos yang tinggi turut boleh menyebabkan hilang selera makan dan mengurangkan bekalan oksigen kepada otak

Dalam video tersebut, yang dilaporkan dirakam di sebuah tempat di London sebelum permulaan musim ini, pemain Gunners lain termasuk Henrikh Mkhitaryan dilihat menolak tawaran untuk mencuba gas itu.

Rakaman itu adalah yang terbaru menunjukkan pemain utama kelab bola sepak dikaitkan dengan nitrogen oksida. Raheem Sterling diberi amaran oleh kelabnya ketika itu, Liverpool selepas menunjukkan dia menggunakan bahan itu pada 2015.

Pada tahun yang sama, Jack Grealish diberi amaran oleh pengurus Aston Villa ketika itu, Tim Sherwood, selepas muncul gambar-gambar menunjukkan Grealish menyedut gas itu, manakala Saido Berahino ditegur oleh kelabnya West Brom bagi kejadian serupa pada 2014.

Pada 2013 apabila gambar pemain Tottenham ketika itu Kyle Walker dimuatnaik, beliau memohon maaf di Twitter dengan menulis: "Saya tidak akan melakukannya lagi dan berharap tidak ada orang lain yang dipengaruhi untuk membahayakan kesihatan mereka sebab tindakan saya."

Arsenal, di bawah pengurus baru, Unai Emery, kini berada dalam kedudukan kelima dalam carta Liga Perdana dan belum kalah dalam 20 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

- AFP/TQ/tq

Top