Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pelumba S’pura Riyadh Hakim jalani latihan 10 minggu di Eropah; timba pengalaman lumba litar antarabangsa

Meskipun Sukan Olimpik Tokyo sudah melabuhkan tirainya pada Ahad (8 Ogos), sesetengah atlit masih gigih berlatih bagi mempersiapkan diri untuk bertanding dalam pertandingan dan kejohanan sukan antarabangsa yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelumba S’pura Riyadh Hakim jalani latihan 10 minggu di Eropah; timba pengalaman lumba litar antarabangsa

Junaidi Hashim (kiri) dan Riyadh Hakim (kanan) di Kejohanan Dunia di Leuven, Belgium pada 8 Ogos. (Gambar: Junaidi Hashim/Facebook)

BERITAmediacorp: Meskipun Sukan Olimpik Tokyo sudah melabuhkan tirainya pada Ahad (8 Ogos), sesetengah atlit masih gigih berlatih bagi mempersiapkan diri untuk bertanding dalam pertandingan dan kejohanan sukan antarabangsa yang lain.

Antara atlit yang sedang berbuat demikian ialah pelumba basikal Singapura Riyadh Hakim Lukman yang berangkat ke Eropah baru-baru ini untuk menjalani program latihan selama 10 minggu.

Riyadh Hakim di perlumbaan pertamanya di Leuven, Belgium pada 8 Ogos. (Gambar: Junaidi Hashim/Facebook)

Anak muda berbakat berusia 23 tahun itu akan berpangkalan di Belanda pada separuh pertama program tersebut sebelum ke Andorra untuk meneruskan latihannya di kawasan pergunungan pula.

Dalam pada itu, Riyadh bakal mengambil bahagian dalam sekitar tujuh perlumbaan setiap hujung minggu dengan perlumbaan pertama adalah Kejohanan Dunia Cross-Country Eliminator (XCE) di Leuven, Belgium pada Ahad (8 Ogos).

“Apa yang kita ingin capai daripada program latihan ini adalah untuk Riyadh menimba pengalaman daripada pendedahan di peringkat antarabangsa, di persekitaran berlainan – litar berbeza dan tahap perlumbaan lebih tinggi - demi memperhalusi kemahiran dan kemampuannya,” kata Pengarah Sportive ProcyclingSG Junaidi Hashim.

ProcyclingSG yang dikendalikan oleh Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) dilancarkan pada 2020 untuk melahirkan lebih ramai pelumba berbakat dengan mendedahkan mereka kepada perlumbaan luar negara.

Dedah Junaidi selaku jurulatih dan pengurus Riyadh, program latihan yang mencecah hampir S$25,000 itu dibiayai oleh persekutuan tersebut.

BANYAK BERKORBAN

Mengongsi secara eksklusif bersama dengan BERITAmediacorp, Riyadh berkata beliau sememangnya sudah merancang untuk meningkatkan prestasi latihannya selepas selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Namun, rancangannya harus ditangguh disebabkan oleh situasi COVID-19 yang kian berubah-ubah. Baru Khamis lalu (5 Ogos), beliau dan Junaidi akhirnya berlepas ke Eropah setelah mendapat kelulusan daripada agensi sukan negara Sport Singapore (SportSG).

Ini juga bermakna lulusan Politeknik Singapura itu terpaksa menggantung buat sementara kerjaya sebagai seorang guru demi memburu cita-citanya dalam sukan lumba basikal bukit.

Sepatutnya, sejak awal tahun ini sehingga hujung Julai depan, Riyadh bertugas sebagai seorang guru kontrak sebelum melanjutkan pengajiannya di Institut Pendidikan Nasional (NIE) tetapi sebaliknya beliau memutuskan untuk merebut peluang keemasan untuk berlatih dan berlumba di luar negara.

“Sesetengah orang mungkin berkata ia bukan langkah yang bijak terutamanya di tengah-tengah ketidaktentuan sekarang ini. Walau bagaimanapun, saya yakin dengan pilihan saya.

“Saya rasa bahawa saya masih ada banyak lagi yang belum saya persembahkan. Saya mahu mencapai sejauh mungkin yang saya mampu dalam sukan lumba basikal. Saya tidak mahu hidup dengan rasa menyesal kerana tidak mencuba,” kata juara Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2019 itu.

Riyadh Hakim sewaktu berlatih di Singapura. (Gambar: Riyadh Hakim/Instagram)

SASAR SUKAN SEA, SUKAN ASIA

Sebelum ini, Riyadh bijak mengimbangi jadual sekolah, NS dan kerja selain waktu latihan tetapi di Eropah, beliau boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada sukan lumba basikal sahaja.

Oleh itu, kata individu berbakat tersebut, beliau menjangkakan akan berupaya memperbaiki prestasi pada rentak yang lebih pantas, dengan mutu latihan dan masa rehat yang lebih baik.

Anak sulung empat beradik itu juga mahu menimba seberapa banyak pengalaman daripada perlumbaan-perlumbaan yang bakal disertai, sedang keluarga dan sahabat handai di Singapura terus menyokongnya dari jauh.

“Saya selalu mendapat motivasi tambahan apabila saya memikirkan tentang mereka yang telah menyokong saya sejak dari awal lagi. Saya memang amat berterima kasih kepada mereka,” kongsi Riyadh.

Salah seorang daripada mereka ialah Junaidi yang merupakan bekas jaguh lumba basikal Singapura.

Ditanya tentang sasaran yang ditetapkan bagi pelapisnya itu, beliau berkata buat masa ini, matlamatnya adalah untuk melayakkan Riyadh ke Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Membawa pulang pingat adalah sasaran utama. Ia bukan mudah tetapi dengan pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan beliau sejauh ini, saya yakin Riyadh akan mencapainya satu hari nanti,” jamin beliau.

Sukan SEA bakal diadakan di Vietnam manakala Sukan Asia pula di China menjelang 2022 dengan acara lumba basikal bukit dijangka turut dipertandingkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan