Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pelumba basikal S'pura Riyadh Hakim raih tempat ke-5 perlumbaan antarabangsa

Atlit Singapura Riyadh Hakim Lukman berjaya meraih kedudukan cemerlang dalam perlumbaan bertaraf dunia baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelumba basikal S'pura Riyadh Hakim raih tempat ke-5 perlumbaan antarabangsa

Riyadh Hakim beraksi di salah sebuah perlumbaan di Girona, Sepanyol. (Gambar: Simon Gegenheimer)

SINGAPURA: Atlit Singapura Riyadh Hakim Lukman berjaya meraih kedudukan cemerlang dalam perlumbaan bertaraf dunia baru-baru ini.

Anak muda berusia 23 tahun itu muncul di tempat kelima dalam kalangan 18 pelumba Piala Dunia MTB Eliminator UCI di Barcelona, Sepanyol pada Sabtu (2 Okt).

Pencapaian Riyadh "amat membanggakan" kata pelumba veteran negara Junaidi Hashim selaku jurulatihnya.

Riyadh Hakim (paling kanan) meraih tempat kelima Piala Dunia MTB Eliminator UCI di Barcelona, Sepanyol. (Gambar: Junaidi Hashim)

Ini lebih-lebih lagi memandangkan dia hanya beberapa kedudukan di belakang juara dunia Simon Gegenheimer yang meraih tempat kedua dan pemenang perlumbaan, Jereon Van Eck yang juga merupakan juara Eropah.

Menurut Junaidi, pencapaian atlit berbakat itu adalah yang terbaik pernah dicatatkan oleh pelumba tanah air di peringkat antarabangsa.

"Ini satu kejutan buat saya. Tentu sekali ia memberi perangsang kepada saya setelah berjaya mencapai keputusan cemerlang itu ketika berlumba dengan para pelumba terbaik dunia," kongsi Riyadh.

Pada awal Ogos lalu, dia berangkat ke Eropah bersama Junaidi untuk menjalani program latihan yang turut merangkumi penyertaan dalam perlumbaan-perlumbaan sengit setiap minggu.

Sejauh ini, Riyadh sudahpun berlumba dalam lapan acara sepanjang sembilan minggu bagi menimba pengalaman berlatih bersama para pelumba bertaraf dunia di persekitaran yang jauh berbeza berbanding di Singapura.

Malah, Junaidi turut mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa mereka akan melanjutkan lagi sebulan program yang sepatutnya berakhir Khamis ini untuk berlumba di Perancis dan Turki pula.

"Bukan semua atlit boleh melakukannya. Ia memerlukan banyak kesungguhan, kerja keras dan tekad yang kuat. Riyadh ada ciri-ciri tersebut" luah jaguh lumba basikal Singapura itu.

BUKTIKAN KEPADA YANG RAGU

Junaidi berharap prestasi Riyadh setakat ini dan kejayaannya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa akan dapat sedikit sebanyak merubah persepsi masyarakat sukan berbasikal di Singapura.

"Ada yang pada awalnya ragu-ragu tentang rancangan kami untuk berlatih dan berlumba bersama pelumba terbaik di dunia.

"Namun, pencapaian ini membuktikan kerja keras dan kesungguhan akan membawa hasil," kongsi Junaidi sambil menambah betapa pentingnya sokongan untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan.

"Semestinya saya merindui keluarga di Singapura. Ini adalah tempoh paling lama saya pernah berjauhan dengan mereka," ujar Riyadh yang menangguhkan buat sementara program guru pelatih di Institut Pendidikan Nasional (NIE) demi memburu cita-citanya dalam sukan lumba basikal bukit.

Dia terus giat berlatih berbekalkan semangat mahu menyuntik inspirasi khususnya kepada mereka yang sama-sama mahu mengecapi kecemerlangan dalam sukan.

"Ia tidak mustahil. Tidak semestinya tidak boleh mencapai kejayaan dalam sukan di Singapura," tegas Riyadh.

Selepas ke Belanda dan kemudian Andorra serta Barcelona, kedua-dua wakil negara itu akan berangkat ke Perancis pula untuk menyertai perlumbaan lima hari sebelum berpangkalan di Turki.

Riyadh dijangka akan menyertai sebanyak 12 perlumbaan selain menjalani latihan sepanjang sebulan di sana sebelum pulang ke tanah air.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan