Images
  • ole ole man utd
    Ole Gunnar Solskjaer. (Gambar: AFP)

Peluang Man Utd akhiri badi kekalahan di tempat lawan

NEWCASTLE: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United sedang berdepan tempoh yang sukar sedang beliau cuba membangunkan semula pasukannya. Bagaimanapun, kunjungan ke Newcastle esok menawarkan peluang terbaik untuk mereka menamatkan rekod buruk tempat lawan.

Keputusan terikat tanpa jaringan di AZ Alkmaar kelmarin meninggalkan United tanpa kemenangan di tempat lawan sepanjang 10 perlawanan lalu.

Mereka langsung tidak pernah memenangi perlawanan di luar Old Trafford sejak kemenangan dramatik Liga Juara-Juara Mac lalu ke atas Paris Saint-Germain.

Kali terakhir United mengalami situasi sama adalah pada tahun 1989 di mana mereka gagal mencatat kemenangan tempat lawan dalam 11 perlawanan – antara sejarah paling buruk kelab tersebut.

Benteng pertahanan kendalian Solskjaer juga kekal rapuh walaupun berbelanja besar untuk mendapatkan pemain termahal dunia Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka.

Malah, Solskjaer juga akur bahawa United tidak lagi ditakuti pasukan lawan sama seperti di bawah tempoh kegemilangan Alex Ferguson, selama 27 tahun.

“Kami tidak lagi berada pada era 1990-an, ia adalah era yang berbeza. Pasukan pemain berbeza sedang dibangunkan,” kata Solskjaer.

Dengan para pemain muda yang berpotensi termasuk Mason Greenwood dan Axel Tuanzebe, Solskjaer cuba memberi gambaran betapa hanya dengan menaruh kepercayaan terhadap pemain belia saja dapat mengembalikan era kegemilangan Ferguson.

“Kami sedar ada naik dan turun. Saya bersedia untuk melihat para pemain muda ini menjadi lebih mahir,” kata Solskjaer yang mungkin kehilangan penyertaan Paul Pogba dan Jesse Lingard pada Sabtu ini. 

- AFP/NA/na

Top