Images
  • hospital albert einstein
    Hospital Albert Einstein di mana Pele sedang dirawat. (Gambar: REUTERS)

Pele semakin beransur pulih; jalani fisioterapi di hospital

SAO PAULO: Legenda bola sepak, Pele, sedang beransur pulih menyusuli pembedahan usus.

Baru-baru ini, keluarganya memuat naik rakaman video yang menunjukkan warga Brazil berusia 80 tahun itu sedang tersenyum semasa menjalani fisioterapi di sebuah hospital di Sao Paulo.

Pada 4 September lalu, bekas pemain Santos, Brazil dan New York Cosmos itu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan pada usus besarnya.

Beliau keluar masuk Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Albert Einstein sejak pembedahan itu.

Anak perempuannya Kely memuat naik video Pele melakukan senaman kaki dan latihan tinju bayang dalam satu catatan di Instagram.

Beliau dirawat oleh dua ahli fisioterapi dengan salah seorang daripadanya adalah anaknya sendiri.

"Hari ini beliau mengambil dua langkah ke hadapan!" tulis Kely sambil merujuk kepada catatan sebelum itu di mana beliau memberitakan kepada para peminat bahawa perjalanan pemulihan bapanya bak mengambil dua langkah ke hadapan dan satu langkah ke belakang.

Satu-satunya pemain untuk menjulang trofi Piala Dunia sebanyak tiga kali, Pele sudah bertahun-tahun menderita masalah pinggul dan tidak boleh berjalan tanpa dibantu.

Penampilannya di khalayak ramai juga sudah dikurangkan sebelum pandemik COVID-19 melanda dan sejak itu tidak banyak keluar rumah.

- REUTERS/SM/sm

Top