Images

Pelbagai saranan diketengah demi pupuk minat bola sepak di kalangan murid sekolah rendah

SINGAPURA: Lebih banyak idea disarankan bagi menarik minat murid sekolah rendah untuk bermain bola sepak.

Antaranya, mengurangkan anggota pemain dalam satu pasukan, serta mewujudkan lebih banyak ruang untuk bermain.

Ia semua sebahagian daripada projek nasional "Unleash The Roar" yang bertujuan membantu anak-anak muda menceburi sukan tersebut dengan lebih serius.

TERPAKSA BURU MINAT DI AKADEMI LUAR

"Nama saya Syed Fahri Bin Syed Karim. Saya berumur 10 tahun. Saya bermain untuk Kelab Bola Sepak Singapura (SFC) sebagai pemain pertahanan."

Demikian kongsi murid Sekolah Rendah Marsiling itu kepada Mediacorp apabila ditemui semasa sesi latihannya pada hujung minggu.


Peminat Cristiano Ronaldo itu hanya berlatih pada hujung minggu di akademi privet itu kerana sekolahnya tidak menawarkan bola sepak sebagai kegiatan luar darjah (CCA).

"Saya sedih dan kecewa kerana saya sangat gemarkan bola sepak," kata Syed Fahri.

Bapanya, seorang bekas pemain bola sepak profesional, terlepas pandang butiran itu semasa mendaftarkan anaknya ke sekolah rendah.

"Yang kami utamakan adalah lokasi. Kami tidak terfikir tentang bola sepak. Kami hanya fikirkan tentang pelajarannya, tapi selepas daftar, baru dapat tahu tiada bola sepak," kata bapanya, Syed Karim Syed Hussin, yang juga Ketua Pembangunan Belia di SFC.

CABARAN TAWARKAN BOLA SEPAK DI SEKOLAH

Perangkaan pemerintah menunjukkan tahun lalu, hanya 90 daripada 168 sekolah rendah menawarkan bola sepak sebagai kegiatan luar darjah (CCA).

Menurut Kementerian Pendidikan, jumlah itu adalah 20 lebih rendah berbanding 110 sekolah yang menawarkannya setiap tahun sejak 2017.

MOE menambah, bola sepak sebagai CCA lebih susah untuk diteruskan bagi sekolah-sekolah lebih kecil kerana program demikian memerlukan sekitar 40 hingga 80 pelajar.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyarankan format permainan yang lebih kecil, seperti tiga pemain bagi setiap pasukan.

Sebelum pandemik, pasukan lelaki mempunyai lapan pemain dalam satu pasukan manakala pasukan wanita pula tujuh orang.

FAS juga menyasarkan untuk mendapat 10 peratus daripada setiap kohort untuk bermain bola sepak secara tetap.

Pada tahun 2014, perangkaannya kurang 6 peratus bagi lelaki dan hanya lebih 1.5 peratus bagi perempuan. 

Namun bukan jumlah pemain saja yang menjadi cabaran.

"Bagaimana untuk kami kembangkan program bola sepak di sekolah-sekolah rendah tanpa padang; bukankah ini satu cabaran?" kongsi Timbalan Presiden FAS, Bernard Tan.

Badan tersebut menarik perhatian kepada program futsal antara sekolah sebagai antara huraiannya, kerana ia boleh dimainkan di dewan sekolah.

Menurut FAS, kini terpulang kepada pemerintah untuk menilai sama ada pihaknya dapat mereka peluang untuk menyokong cita-cita pemain cilik seperti Syed Fahri.

Ditanya sama ada dia ingin mewakili Singapura jika diberi peluang, ini jawapan Syed Fahri dengan semangat:

"Ya, tentu sekali. Saya mahu wakili negara saya." 

- CNA/NZ/tq

Top