Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pelbagai acara sukan, kegiatan riadah dianjur seiring Get Active! S'pore; galak rakyat 'keluarkan peluh' sambut NDP2020

Dari acara larian, lumba basikal hingga ke tarian aerobik, pelbagai acara sukan dan banyak lagi kegiatan riadah boleh dijangkakan rakyat Singapura sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelbagai acara sukan, kegiatan riadah dianjur seiring Get Active! S'pore; galak rakyat 'keluarkan peluh' sambut NDP2020

Pelbagai kegiatan sukan dan riadah boleh disertai sempena menyambut Hari Kebangsaan.

SINGAPURA: Dari acara larian, lumba basikal hingga ke tarian aerobik, pelbagai acara sukan dan banyak lagi kegiatan riadah boleh dijangkakan rakyat Singapura sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Menariknya, dengan pandemik COVID-19, kesemua acara dan aktiviti tersebut dianjurkan secara maya dengan memanfaatkan pelbagai wadah online.

Ini bermakna orang ramai boleh mengambil bahagian secara perseorangan, bersama keluarga atau dalam kumpulan kecil dari mana jua mereka berada dan lebih penting lagi ia lebih mudah dan selamat.

Gambar: Facebook/GetActive! Singapore

BERITAmediacorp menyenaraikan acara-acara menarik ini seiring dengan kempen tahunan GetActive! Singapore yang dilancarkan sejak 2016 untuk menggalak para penduduk untuk menyambut ulang tahun negara menerusi sukan dan riadah.

BERLARI DEMI TUJUAN LEBIH BESAR

Dengan hanya menggunakan aplikasi telefon bijak atau peranti yang boleh mengukur jarak, anda berpeluang menyertai pelbagai acara larian.
Malah, anda boleh berlari sambil beramal dengan mendaftarkan diri bagi acara larian seperti Run for Heroes 2020.

Selain menyumbang kepada Dana Ketabahan yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang terjejas oleh krisis COVID-19, satu jalur pergelangan tangan dan sekeping kad penghargaan dihadiahkan kepada seorang pekerja barisan hadapan bagi setiap penyertaan bagi acara 1 kilometer sejak ia dilancarkan pada Mei lalu. 

Jalur pergelangan ikonik ini akan turut dihadiahkan kepada pekerja barisan hadapan bagi setiap penyertaan. (Gambar: Facebook/Run For Heroes SG)

Khas buat Hari Kebangsaan pula, dua kategori baru diperkenalkan iaitu acara 55 kilometer perseorangan dan acara 550 kilometer berpasangan dengan yuran penyertaan masing-masing berharga S$30 dan S$55.

Para peserta boleh melakukan larian pada bila-bila masa sehingga 31 Ogos ini dan menghantar catatan jarak mereka kepada pihak penganjur untuk mendapatkan cenderahati termasuk kemeja-T dan jalur pergelangan tangan serta pelitup edisi terhad.

Mereka yang menyertai acara 55km akan menerima kemeja-T, jalur pergelangan tangan dan pelitup edisi terhad. (Gambar: Run For Heroes 2020)

Bagi mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam acara larian menjangkaui sempadan negara pula, Run for Singapore 2020 menawarkan peluang untuk melakukan larian bersama peserta lain dari rantau ini bagi mencatat jarak larian sejauh 55,000 kilometer secara keseluruhannya sempena meraikan ulang tahun Singapura yang ke-55.

Anjuran Spacebib, acara tersebut merupakan sebahagian daripada siri Asia Online Run yang turut dianjurkan tujuh negara lain di rantau ini untuk menyambut hari kemerdekaan masing-masing.

Inilah antara cenderahati Run For Singapore Online Challenge 2020. (Gambar: Facebook/Spacebib)

Orang ramai dipelawa mendaftar bagi acara 5.5 kilometer atau 55 kilometer dan mereka boleh menamatkan larian pada bila-bila masa antara 1 Ogos hingga 30 September.

Yuran penyertaan adalah antara S$16.98 hingga S$53.98, bergantung kepada jumlah dan jenis cenderahati yang mahu diterima selepas berjaya mencatat jarak yang dipilih.

Para peserta yang sudahpun selesai Run For Singapore Online Challenge 2020. (Gambar: Facebook/Spacebib)

KAYUH LEBIH JAUH DEMI S'PURA TEGUH

Selain acara larian, terdapat beberapa acara mengayuh basikal bagi mereka yang minat berbasikal. Buat julung-julung kalinya, Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) akan menganjurkan Cabaran Berbasikal Tertutup Hari Kebangsaan SCF 2020 iaitu satu acara lumba basikal secara online menerusi platform e-basikal, Zwift.

Ia akan bermula pada 8 Ogos dengan perlumbaan 36 kilometer (lelaki) dan 27 kilometer (wanita) manakala acara uji masa perseorangan 28 kilometer (lelaki) dan 17 kilometer (wanita) pula bakal berlangsung pada 9 Ogos.

Poster acara Cabaran Berbasikal Tertutup Hari Kebangsaan SCF 2020. (Gambar: Facebook/SCF)

Sebanyak 20 kategori perlumbaan ditawarkan bagi pelbagai peringkat usia bermula daripada mereka yang berusia 13 tahun ke atas dengan yuran pendaftaran S$50 setiap seorang. Setiap peserta akan menerima kemeja-T terhad tajaan Warrix Singapore.

Jika anda lebih gemar berbasikal secara riadah saja, syarikat Togoparts pula sedang menganjurkan acara #TOGOSG55 sehingga 31 Ogos ini.

Poster #TOGOSG55. (Gambar: Facebook/SCF)

Anda hanya perlu membuat pendaftaran dan menghubungkan peranti pemantau jarak anda dengan akaun Strava pihak penganjur agar dapat dipantau. Malah, tiada bayaran dikenakan untuk mendaftar dan para peserta boleh mengayuh sedaya mungkin untuk menyumbang kepada sasaran 550,000 kilometer pada akhir kempen.

Namun, jika peserta berminat untuk membeli jersi terhad acara berkenaan, mereka harus sekurang-kurangnya mencatat 55 kilometer sebelum hujung bulan ini. Bagi peserta yang mahu mendapatkan lencana khas edisi #TOGOSG55 pula, mereka boleh membentuk sebuah kumpulan dan mengayuh sejauh 550 kilometer secara purata setiap seorang.

Jersi edisi #TOGOSG55. (Gambar: Facebook/Togoparts)

Sejauh ini, dalam tempoh dua hari saja sejak acara tersebut dilancarkan, lebih 55,000 kilometer sudahpun dicatat dengan pihak penganjur menggalak lebih ramai tampil untuk mengambil bahagian.

“Lebih jauh kita kayuh, lebih teguh kita sebagai satu negara!” bunyi kata-kata yang tertera di laman Togoparts.

ACARA MESRA KELUARGA

Terdapat juga pelbagai acara yang mudah disertai sesisi keluarga tidak kira usia.

Antaranya ialah senaman tarian GetActive! Singapore 2020. Sesiapa saja boleh turut serta dengan mengikuti video bimbingan di YouTube. 

Orang ramai digalak ikut serta video ini dan merakam video atau mengambil gambar dengan #GetActivSg. 

Mereka juga digalak mengambil gambar atau merakam video dan memuatnaikkannya ke lelaman media sosial dengan #GetActiveSg sebelum 7 Ogos untuk berpeluang memenangi baucar.

Selain itu, bagi keluarga yang suka beriadah, syarikat SGTrek menganjurkan Cabaran 55km di mana para peserta diberikan tempoh sehingga 25 Ogos untuk berjalan sejauh 55 kilometer pada bila-bila masa, tidak kira di mana jua.

Poster SGTrek Virtual Walk 2020. (Gambar: Facebook/SGTrek)

Para peserta akan menerima e-sijil sekiranya berjaya melakukan cabaran berkenaan yang menurut syarikat SGTrek “mudah dicapai” bahkan boleh dijadikan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga.

Apa pun kegiatan yang bakal anda pilih kelak, ia diharap akan dapat menggalak anda “untuk lebih aktif, menjalani gaya hidup lebih sihat dan kekal teguh serta bersatu” di tengah-tengah pandemik COVID-19, tekan Ketua Pegawai Eksekutif SportSG Lim Teck Yin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan